Pages

Sunday 25 August 2013

MENITI SUNNAH PEMBANGUNAN UMMAH II


Semenjak 500 tahun yang lalu, muncul kefahaman dan aliran yang sangat berbeza dengan aliran mazhab yang biasa iaitu perkembangan pemikiran yang bersifat filsafat dan kebebasan hawa nafsu. Hal ini berkembang dan menjadi fahaman sekular dengan pengertian tradisinya tidak mahu menyatupadukan pegangan politik dengan pegangan keagamaan sehingga pemimpin dan pemerintah di kalangan orang Islam memperalatkan agama atas nama orang Islam tetapi tidak mahu berpegang dengan ajaran Islam yang dipegang oleh jumhurul ummah. Mereka menafsirkan Al-Quran dan As-sunnah untuk diselaraskan dengan pegangan sekular mereka dan terus memperalatkan agama untuk mengekalkan kuasa mereka dan mengajak orang Islam bersama dengan mereka.

Aliran pemikiran seperti ini telah dibina oleh penentang-penentang gereja dan kemudiannya paderi-paderi serta pedagang-pedagang yang menjajah negara umat Islam. Malah mereka mendapat kepentingan bersama dengan mengembangkan sekular yang menjauhkan umat Islam daripada agama, disamping menjajah negara-negara umat Islam dan mengaut keuntungan ekonomi daripada bumi umat Islam serta mengembangkan agama Kristian. Apabila mereka keluar daripada tanah jajahan ini, mereka meninggalkan penguasa-penguasa sekular sehingga mendarah daging dalam diri dan memerintah seperti mana mereka memerintah sebelum itu.

Perkara berkenaan telah disebut oleh Lord Cromer dan Glad Stone. Maka sebahagian daripada anggota umat Islam daripada pelbagai mazhab mendokong fahaman sekular dan memperjuangkannya sebagai fahaman baru melalui sistem demokrasi, bahkan apabila mereka memerintah atau kalah melalui pilihanraya, mereka akan melakukan tipu helah dan keganasan bagi memastikan golongan mereka tetap berkuasa dalam negara-negara berkenaan.

Ironinya lagi apabila bangsa Arab dan kerajaan mereka membuat pendirian bahawa jumhurul ummah tidak sepatutnya diberikan peluang berkuasa secara demokrasi seperti sokongan Raja Abdullah Abd. Aziz (Arab Saudi) kepada perampas kuasa di Mesir, serta turut disokong oleh Raja Emirate dan Raja Quwait.

Tidak kurang ironinya apabila ada ulama’ tertentu dunia yang memakai serban para ulama’ ahli sunnah wal jamaah tidak langsung mengambil kira pendapat jumhur dalam menentukan pendirian ke atas masalah umat Islam di Mesir.

Marilah sama-sama kita merenung kepada Al-Quran dan As-sunnah yang tegas mengatakan pendirian yang wajib diambil oleh seseorang Islam iaitu :

a) Meyakini bahawa umat Islam itu adalah satu dan inilah wadah dan bekas dimana orang Islam berada di dalamnya. Umat Islam bukan dua, bukan juga tiga, ianya adalah satu kerana agamanya adalah satu. 

b) Jamaah Islam atau Hizbullah (Al-Maaidah,54-56; Al-Mujadalah,52; dan hadith Khuzaifah ibnul Yaman)  adalah kumpulan yang memimpin umat Islam dan mereka adalah orang-orang yang layak membentuk Syura yang terdiri daripada para ulama’ yang takutkan Allah SWT. Sesungguhnya ulama’ itu adalah orang yang takut kepada Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Bahawasanya mereka yang menjadi ulama’ itu adalah orang yang takut kepada Allah SWT”. 

c) Persaudaraan Islam adalah yang mengikatkan antara hati di kalangan orang-orang yang beriman satu sama lain berdasarkan ayat Al-Quran : “Bahawasanya orang-orang yang beriman itu sahajalah yang bersaudara”.

Ikatan ini seharusnya menjadi pegangan yang tidak boleh dirungkai sehingga anggota-anggota umat Islam menjadi satu tubuh badan sahaja seperti yang diibaratkan oleh hadis Rasulullah SAW iaitu “apabila sakit salah satu anggota badan, maka seluruh anggota badan tidak mampu tidur dan demam”.

Marilah kita berpegang kepada nas Al-Quran dan As-sunnah yang memerintahkan kita untuk melaksanakan kedudukan kita dan menghayatinya secara kehidupan berjamaah dan bersaudara secara Islam. Sesungguhnya kehidupan berjamaah dan budaya ummah yang satu mengatasi kepentingan mazhab parti politik dan golongan tertentu seperti persaudaraan Islam yang melangkaui kepentingan bangsa, kaum dan kumpulan-kumpulan tertentu.

Rasulullah SAW meninggalkan kita dengan Kitab Al-Quran dan As-sunnah, maka kita tidak akan sesat sekiranya kita berpegang kepadanya. Insya’ Allah kita berusaha mengembalikan persatuan ummah dan persaudaraan Islam melalui kepimpinan jamaah Islam di seluruh dunia.



Monday 19 August 2013

MENITI SUNNAH PEMBANGUNAN UMMAH I


Umat Islam di seluruh dunia telah ditimpa oleh fitnah besar dengan berlakunya peristiwa pembunuhan beramai-ramai oleh perampas kuasa ke atas kerajaan Dr Mohamed Mursi di Mesir. Rakyat Mesir dihujani peluru-peluru hidup yang mengorbankan ribuan mereka yang tidak berdosa tanpa sedikit pun ada perasaan belas kasihan. Malahan masjid serta hospital juga dibakar.

Semenjak daripada zaman Rasulullah SAW, baginda membina umatnya dengn pemikiran untuk menghormati Syura dan pendapat jumhur (majoriti). Nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah yang sifat pendalilannya adalah secara tegas dan nyata (qat’iyyat al di laalah) dituntut agar dilaksanakan oleh umat Islam dengan cara yang sebaik-baiknya serta sesuai dengan pendalilannya yang tegas dan nyata itu.

Umat Islam adalah sebuah ummah yang satu. Suatu istilah yang disebutkan oleh Al-Quran dengan sifat kesatuannya (ummatan wahidah) sepertimana yang terkandung dalam ayat Al-Quran yang maksudnya : “Ini adalah umat kamu, umat yang satu dan Aku (Allah SWT) Tuhan kamu, maka hendaklah kamu semua menyembahKu)”. (al-imran; 110)

Kesatuan umat ini berakar umbi pada satu dasar yang berpegang kepada akidah tauhid. Justeru syari’at Islam adalah berpusat pada paksi yang satu (akidah tauhid) dan bersifat syumul dimana amalan-amalan hidup terikat kepada paksi akidah ini serta lengkap melengkapi antara satu sama lain. Itulah yang dimaksudkan dengan firman AllahSWT : “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam kesejahteraan (Islam) yang menyeluruh”. (Al-Baqarah; 208)

Pembinaan umat yang dibentuk semenjak zaman Rasulullah SAW adalah pada landasan-landasan berikut:
a) Mematuhi nas-nas Quran dan Hadith yang sifatnya jelas tanpa boleh disyurakan seperti perintah solat dan puasa.

b) Membenarkan perbezaan pendapat di atas perkara kesamaran seperti yang berlaku dalam kes dimana Rasulullah SAW membenarkan pendapat-pendapat sahabat yang berbeza ketika melaksanakan perintah baginda “Janganlah kamu sembahyang Asar kecuali di tempat Banu Quraizah”, [Riwayat Bukhari].

c) Rasulullah SAW menggalakkan pemesyuaratan dan menerima pendapat jumhur seperti kes penempatan tetera Islam di punca air Badar.

d) Menerima pakai pendapat yang menjadi adat dan kebiasaan yang boleh mendatangkan manfaat seperti pendebungaan kurma untuk mendapatkan hasil yang banyak.

Pada zaman para sahabat dan assalaf al soleh terdapat perbezaan-perbezaan dalam perkara politik seperti yang berlaku mengenai peristiwa pembunuhan Saidina Uthman R.A dan peristiwa waqa’atul jamal (pertembungan antara kumpulan Saidatina ‘Aisyah R.A dan Saidina Ali R.A). Kemudiannya peperangan antara Saidina Ali dan Muawiyyah bin Abu Sufian yang membabitkan sahabat-sahabat R.A, dimana pada penghujungnya para ulama’ menentukan bahawa  pendapat Jumhur seharusnya di terima walaupun secara filsafatnya mungkin dianggap oleh setengah golongan mempunyai  kelemahan-kelemahan tertentu. Maka pendapat ini akhirnya digelar sebagai pendapat golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pendapat.

Sehingga hari ini masih ada orang Islam yang tidak dapat menetapkan pendirian tentang kewajiban untuk mereka mengikuti aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, bahkan lebih parah lagi ialah tidak mengenali aliran ini. Apa yang difahami oleh golongan seperti ini; pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah dianggap sebagai pendapat bukan mazhab syi’ah. Apakah makna As-Sunnah Wal Jamaah ini dalam konteks pertembungan antara Sunni dan Syi’ah sahaja? Atau pun maksudnya dalam konteks pendapat dan aliran yang dipegang umum oleh jumhur dalam menerima dan menentukan tindakan yang selaras dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Perbezaan Sunni dan Syi’ah adalah perbezaan tradisi kehidupan bermazhab di kalangan umat Islam. Apa yang lebih penting adalah mentakribkan perbezaan-perbezaan dalam sifatnya akidah, syariah dan akhlak agar lebih mendekati kehendak Al-Quran dan As-sunnah.

Maka di sinilah terletaknya peranan seorang mujaddid; iaitu orang yang mahu mengembalikan ajaran Al-Quran dan As-sunnah menjadi amalan dan penghayatan umat pada zaman ini.

Dalam konteks ini peranan mujaddid ialah merungkaikan perselisihan di dalam isu perbezaan mazhab dan membawa ummah kepada perpaduan dan persaudaraan Islam yang sebenar.

Sememangnya isu mazhab adalah isu lama, tetapi kelamaannya itu telah melalui fasa dan zaman dimana penemuan-penemuan baru mengenai kelemahan feqah dan pendapat mazhab tertentu telah dikenal pasti di  tempat-tempat dan masa-masa tertentu. Misalnya hari ini kita dapati urusan zakat dengan memakai pendapat mazhab Hanafi lebih munasabah dalam masyarakat Malaysia yang bermazhab Syafi’e. Begitu juga dengan hak memiliki tanah seharusnya memakai pendapat kedua-dua mazhab ini.

Begitu juga pendapat berkaitan akidah apabila amalan mencaci para sahabat dan ummahatul mukminin (Sayyidina Ali, Sayyidina Abu Bakar, Sayyidatina ‘Aisyah dan lain-lain R.A) yang dianggap kafir dan mesti dilaknat adalah perkara yang tidak pernah ditemui kebenarannya semenjak dari 1300 tahun lalu hingga sekarang. Ini kerana tidak ada suatu logik dari segi hukum syarak, akal atau adat untuk mengatakan keharusan mencaci para sahabat dan ummahatul mukminin.

Apakah tidak cukup dengan perbalahan selama 1300 tahun yang lalu agar kita membuat penentuan pada zaman ini untuk mentakribkan (mendekatkan) mazhab-mazhab ini dengan meninggalkan pendapat yang songsang dan mengikuti pendapat yang didokong oleh para jumhurul ummah.

Sekiranya ada usaha baru dalam masyarakat Malaysia yang di bawa oleh mana-mana pihak untuk menanamkan pendapat seperti itu di dalam masysrakat ahli sunnah wal jamaah seperti di Malaysia, maka usaha seperti itu adalah sangat hina kerana ia membawa pendapat yang sepatutnya telah ditinggalkan melalui proses pemahaman Islam yang begitu panjang. Apatah lagi pendapat seperti itu telah memecah belahkan dan merosakkan hidup masyarakat Islam.


Setiap kita seharusnya berperanan untuk menguatkan umat Islam dan melepaskan belenggu kehinaan ummah kerana  perbezaan-perbezaan untuk kepentingan kuasa, politik dan mazhab tertentu. Kepentingan kita untuk mencari keredhaan Allah dan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam praktis hidup adalah sangat kritikal. Wallahua’lam..


Tuesday 6 August 2013

Apakah faktor kekuatan sebuah organisasi dan institusi?

Pelbagai persoalan yang membelenggu dalam benak pemikiran seseorang di mana mereka ini menjadi pemerhati kepada setiap kejadian, peristiwa dan perkara yang berlaku. Apa yang ingin saya coretkan adalah berkaitan dengan kehidupan kita sebagai umat Islam.

Saya telah diajukan dengan satu persoalan yang cukup menarik dan mendorong agar ia dikongsi kepada umat Islam di seluruh negara ini. Perbualan antara saya dan seorang guru ringkas sahaja tetapi cukup bermakna.

Seorang guru di Ma’ahad Tahfiz wal Tarbiyyah (MTT) bertanya kepada saya : apakah faktor kekuatan kita?
Secara ringkas saya menjawab : faktornya adalah kita berjamaah dan bersaudara secara Islam.
Raut wajahnya nampak berbeza dan tertanya-tanya dengan jawapan yang diberikan itu. Lalu saya menyambung, MTT (meneruskan perjuangan Institut Berakan) sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) sudah beroperasi lebih 35 tahun, kekuatannya adalah berpunca daripada dasar berjamaah yang menjadi pegangan sekolah ini.

Sejak dari awal penubuhannya sehingga ke hari ini, kita berkhidmat dalam bidang pendidikan untuk membina insan muslim. Pemimpin dan guru-guru menjadi mujahid Islam yang bekerja dengan bebas tanpa halangan yang melemahkan perjuangan mereka.

Kita di sini berada dalam suasana berjamaah dan masyarakat juga melihat kita berjamaah kerana itulah mereka menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu di sini serta memberikan sumbangan fisabilillah kepada sekolah.


Al-Quran menjelaskan :


MAKSUDNYA : “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Surah Al-Imran; ayat 103)

Ayat ini memandu setiap orang Islam supaya ada dalam jamaah dan tidak terkeluar daripadanya. Ia dihuraikan oleh hadis Rasulullah SAW daripada Khuzaifah Ibn Al-Yaman yang bermaksud “Hendaklah kamu menyertai jamaah Islam dan kepimpinannya”.

Kehidupan berjamaah adalah suatu konsep yang menjadi pegangan hidup seseorang Muslim. Kehidupan tidak sempurna tanpa jamaah Islam yang menjadi wadah kehidupannya. Prinsip ini meliputi dasar organisasi dan negara kerana jamaah Islam adalah sebuah acuan besar di mana umat Islam berada di dalamnya.

Sesungguhnya bentuk kehidupan Islam berjamaah itu adalah satu dasar yang mesti diterima pakai oleh umat Islam di seluruh dunia. Dasar ini dipraktikkan di dalam setiap entiti negara umat Islam secara yang jelas di bawah pimpinan dan syuranya sehingga masing-masing dapat bergabung di bawah wadah ummah yang dipimpin oleh khalifah Islam. Umat Islam tidak seharusnya terpisah daripada ikatan jamaah yang memberi wala’ kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta orang yang beriman.

Di Malaysia,kita bersyukur kerana berada di bawah jamaah Islam yang begitu mantap iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS). Oleh itu, kehidupan orang Islam di negara ini meliputi institusi, masyarakat serta pemerintahnya hendaklah dibangunkan atas dasar berjamaah bersama PAS.

Berikutnya ialah kehidupan bersaudara secara Islam (ukhuwah Islamiyah) di mana prinsipnya dijelaskan oleh Al-Quran : 


MAKSUDNYA : “Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah Al-Hujurat; ayat 10)

Kehidupan ini tidak boleh dirosakkan dengan perbalahan dan krisis sepertimana yang terkandung dalam Al-Quran :



MAKSUDNYA : “Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar.” (Surah Al-Anfaal; ayat 46)

Mutakhir ini, kekuatan umat Islam telah dirosakkan oleh faktor hilangnya tanggungjawab berjamaah dan persaudaraan seperti yang disebutkan oleh ayat di atas.

Ramai pemimpin negara umat Islam tidak mempedulikan kewajipan memerintah demi menjaga jamaah umat Islam dan tidak sedikit pun mempedulikan perintah Allah SWT supaya menjaga hubungan persaudaraan. Nampaknya sikap ini sama seperti yang dicela dalam Al-Quran :



MAKSUDNYA : “Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian Yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang Yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke Dalam azab seksa Yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah; ayat 85)

Mamadailah ianya menjadi pengajaran kepada ahli-ahli PAS agar berpegang teguh prinsip berjamaah dan bersaudara secara Islam. Sebarang tindakan yang boleh melemahkan jamaah dan persaudaraan Islam tidak dapat meningkatkan kualiti hidup umat pada hari ini. 

*p/s : Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin kepada semua muslimin dan muslimat. 


Monday 5 August 2013

TAZKIRAH RAMADHAN : UMNO vs. ISLAM



Terdapat dua masalah dalam memperbaiki kehidupan umat Islam di Malaysia. Pertamanya pendirian UMNO yang sekular dan kedua, sikap zalim mereka terhadap orang lain.

     Persoalan pertama adalah bersangkutan dengan pendirian mereka terhadap agama Islam. Mereka sentiasa berdalih dan tidak serius untuk melaksanakan Islam. Sebenarnya mereka takut terhadap tuan-tuan Barat mereka yang memusuhi Islam sedang mereka tahu bahawa Islam tidak pernah menghalang kemajuan negara. Tetapi kalaulah mereka sendiri berpendirian Islam tidak membawa kemajuan maka merekalah golongan sekular  sebenar dalam negara ini.

     Islam tidak boleh membenarkan pendirian seperti ini kerana Islam adalah agama yang sempurna dan menyeluruh, maka faham sekular adalah faham yang terkeluar daripada agama Islam. Lihatlah firman Allah SWT :

   
MAKSUDNYA : pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. maka sesiapa Yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda Yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Maa’idah; ayat 3)


   

MAKSUDNYA : maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim Dalam mana-mana perselisihan Yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa Yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu Dengan sepenuhnya. (Surah An-Nisa’; ayat65)


     Persoalan kedua ialah sikap zalim terhadap orang lain. Mereka menggunakan kaedah yang salah dalam mempertahankan pengaruh dan kekuasaan melalui prinsip Machiavelli (matlamat menghalalkan cara). Sebagai contoh membatalkan dan merampas royalti minyak Terengganu, melambatkan geran berkapita dan geran jalan kepada negeri Kelantan, mengamalkan dasar double standard dan diskriminasi ke atas negeri yang di perintah oleh pembangkang di peringkat negeri seperti menghalang jabatan dan agensi kerajaan pusat daripada memberi kerjasama kepada kerajaan Kelantan dan menafikan hak Sekolah Agama Rakyat (SAR) daripada mendapat peruntukan kewangan kerajaan.

     Sikap zalim ini sudah bersifat asabiyyah yang dilarang oleh Islam kerana pemimpin dan ahli UMNO/BN turut merestuinya. Lihatlah firman Allah SWT dan hadis Rasulullah SAW :


   


MAKSUDNYA : Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan. (Surah Al-Ma’idah; ayat 8)

    Saya menyeru mereka yang terbabit agar keluar dari sikap sekular dan asabiyyah ini dan ingatlah bahawa Allah SWT tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.




Sunday 4 August 2013

Membanteras Jenayah Dengan Ajaran Islam


Peristiwa pembunuhan dengan cara menembak jarak dekat yang kerap berlaku kebelakangan ini, seperti yang dilaporkan oleh akhbar adalah perkara yang sangat serius. Perkara yang mesti di lihat dalam mengatasi jenayah seperti ini, ialah bukan sahaja dengan adanya undang-undang yang boleh mencegah jenayah dan penguatkuasaannya itu sendiri tetapi kita juga perlu melihat kepada faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya jenayah berkenaan dan dikaji secara mendalam; apakah motif pembunuhan dan apakah latar belakangnya?

Dalam membicarakan isu seperti ini, aspek-aspek pendidikan, perundangan dan hisbah (lembaga amal makruf nahi mungkar) adalah perkara yang mesti di nilai secara kritis kerana jenayah akan terus berkembang dan menjadi semakin parah sekiranya komponen asas dalam pembangunan dalam masyarakat madani tidak ditegakkan di atas prinsip-prinsip pembangunan fitrah kemanusiaan. Sebagai contoh, Pendidikan Islam mampu memberi nilai pintar yang membina jati diri seseorang (dapat menjaga dirinya dengan melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan). Mata-mata pelajaran seperti hafazan Al-Quran, Fardhu ‘Ain dan Bahasa Arab akan membina roh dan nilai dalam diri seseorang pelajar.


Saya percaya sekiranya pendidikan Islam dijadikan teras kepada pendidikan negara ia akan memberikan sumbangan besar kepada pembangunan sosial masyarakat Malaysia. Begitu juga dengan undang-undang Qisas dilaksanakan dalam sistem perundangan negara ini, maka masyarakat akan hidup dalam keadaan sejahtera. Allah SWT menjelaskan : 

"dan di Dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, Wahai orang-orang Yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa."                                                (Surah Al-Baqarah : 179) 

Seterusnya ialah penerimaan terhadap prinsip amal makruf dan nahi mungkar yang diaplikasikan melalui sistem hisbah. Ia akan dapat membantu mengatasi dan mengurangkan ketidakpuasan hati pihak tertentu terhadap pihak lain.

Justeru itu, pembanterasan jenayah berat mestilah di lihat kepada punca permasalahan dan sistem negara yang mampu membendung jenayah tersebut. Islam menawarkan pakej sistem kehidupan yang sempurna dan tiada tolak bandingnya.

Sempena Ramadhan 1434H marilah kita sama-sama kembali menghayati Islam agar kita mendapat keberkatan kehidupan dunia dan akhirat.