Pages

Sunday 4 August 2013

Membanteras Jenayah Dengan Ajaran Islam


Peristiwa pembunuhan dengan cara menembak jarak dekat yang kerap berlaku kebelakangan ini, seperti yang dilaporkan oleh akhbar adalah perkara yang sangat serius. Perkara yang mesti di lihat dalam mengatasi jenayah seperti ini, ialah bukan sahaja dengan adanya undang-undang yang boleh mencegah jenayah dan penguatkuasaannya itu sendiri tetapi kita juga perlu melihat kepada faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya jenayah berkenaan dan dikaji secara mendalam; apakah motif pembunuhan dan apakah latar belakangnya?

Dalam membicarakan isu seperti ini, aspek-aspek pendidikan, perundangan dan hisbah (lembaga amal makruf nahi mungkar) adalah perkara yang mesti di nilai secara kritis kerana jenayah akan terus berkembang dan menjadi semakin parah sekiranya komponen asas dalam pembangunan dalam masyarakat madani tidak ditegakkan di atas prinsip-prinsip pembangunan fitrah kemanusiaan. Sebagai contoh, Pendidikan Islam mampu memberi nilai pintar yang membina jati diri seseorang (dapat menjaga dirinya dengan melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan). Mata-mata pelajaran seperti hafazan Al-Quran, Fardhu ‘Ain dan Bahasa Arab akan membina roh dan nilai dalam diri seseorang pelajar.


Saya percaya sekiranya pendidikan Islam dijadikan teras kepada pendidikan negara ia akan memberikan sumbangan besar kepada pembangunan sosial masyarakat Malaysia. Begitu juga dengan undang-undang Qisas dilaksanakan dalam sistem perundangan negara ini, maka masyarakat akan hidup dalam keadaan sejahtera. Allah SWT menjelaskan : 

"dan di Dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, Wahai orang-orang Yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa."                                                (Surah Al-Baqarah : 179) 

Seterusnya ialah penerimaan terhadap prinsip amal makruf dan nahi mungkar yang diaplikasikan melalui sistem hisbah. Ia akan dapat membantu mengatasi dan mengurangkan ketidakpuasan hati pihak tertentu terhadap pihak lain.

Justeru itu, pembanterasan jenayah berat mestilah di lihat kepada punca permasalahan dan sistem negara yang mampu membendung jenayah tersebut. Islam menawarkan pakej sistem kehidupan yang sempurna dan tiada tolak bandingnya.

Sempena Ramadhan 1434H marilah kita sama-sama kembali menghayati Islam agar kita mendapat keberkatan kehidupan dunia dan akhirat. 



No comments:

Post a Comment