Pages

Monday, 19 August 2013

MENITI SUNNAH PEMBANGUNAN UMMAH I


Umat Islam di seluruh dunia telah ditimpa oleh fitnah besar dengan berlakunya peristiwa pembunuhan beramai-ramai oleh perampas kuasa ke atas kerajaan Dr Mohamed Mursi di Mesir. Rakyat Mesir dihujani peluru-peluru hidup yang mengorbankan ribuan mereka yang tidak berdosa tanpa sedikit pun ada perasaan belas kasihan. Malahan masjid serta hospital juga dibakar.

Semenjak daripada zaman Rasulullah SAW, baginda membina umatnya dengn pemikiran untuk menghormati Syura dan pendapat jumhur (majoriti). Nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah yang sifat pendalilannya adalah secara tegas dan nyata (qat’iyyat al di laalah) dituntut agar dilaksanakan oleh umat Islam dengan cara yang sebaik-baiknya serta sesuai dengan pendalilannya yang tegas dan nyata itu.

Umat Islam adalah sebuah ummah yang satu. Suatu istilah yang disebutkan oleh Al-Quran dengan sifat kesatuannya (ummatan wahidah) sepertimana yang terkandung dalam ayat Al-Quran yang maksudnya : “Ini adalah umat kamu, umat yang satu dan Aku (Allah SWT) Tuhan kamu, maka hendaklah kamu semua menyembahKu)”. (al-imran; 110)

Kesatuan umat ini berakar umbi pada satu dasar yang berpegang kepada akidah tauhid. Justeru syari’at Islam adalah berpusat pada paksi yang satu (akidah tauhid) dan bersifat syumul dimana amalan-amalan hidup terikat kepada paksi akidah ini serta lengkap melengkapi antara satu sama lain. Itulah yang dimaksudkan dengan firman AllahSWT : “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam kesejahteraan (Islam) yang menyeluruh”. (Al-Baqarah; 208)

Pembinaan umat yang dibentuk semenjak zaman Rasulullah SAW adalah pada landasan-landasan berikut:
a) Mematuhi nas-nas Quran dan Hadith yang sifatnya jelas tanpa boleh disyurakan seperti perintah solat dan puasa.

b) Membenarkan perbezaan pendapat di atas perkara kesamaran seperti yang berlaku dalam kes dimana Rasulullah SAW membenarkan pendapat-pendapat sahabat yang berbeza ketika melaksanakan perintah baginda “Janganlah kamu sembahyang Asar kecuali di tempat Banu Quraizah”, [Riwayat Bukhari].

c) Rasulullah SAW menggalakkan pemesyuaratan dan menerima pendapat jumhur seperti kes penempatan tetera Islam di punca air Badar.

d) Menerima pakai pendapat yang menjadi adat dan kebiasaan yang boleh mendatangkan manfaat seperti pendebungaan kurma untuk mendapatkan hasil yang banyak.

Pada zaman para sahabat dan assalaf al soleh terdapat perbezaan-perbezaan dalam perkara politik seperti yang berlaku mengenai peristiwa pembunuhan Saidina Uthman R.A dan peristiwa waqa’atul jamal (pertembungan antara kumpulan Saidatina ‘Aisyah R.A dan Saidina Ali R.A). Kemudiannya peperangan antara Saidina Ali dan Muawiyyah bin Abu Sufian yang membabitkan sahabat-sahabat R.A, dimana pada penghujungnya para ulama’ menentukan bahawa  pendapat Jumhur seharusnya di terima walaupun secara filsafatnya mungkin dianggap oleh setengah golongan mempunyai  kelemahan-kelemahan tertentu. Maka pendapat ini akhirnya digelar sebagai pendapat golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pendapat.

Sehingga hari ini masih ada orang Islam yang tidak dapat menetapkan pendirian tentang kewajiban untuk mereka mengikuti aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, bahkan lebih parah lagi ialah tidak mengenali aliran ini. Apa yang difahami oleh golongan seperti ini; pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah dianggap sebagai pendapat bukan mazhab syi’ah. Apakah makna As-Sunnah Wal Jamaah ini dalam konteks pertembungan antara Sunni dan Syi’ah sahaja? Atau pun maksudnya dalam konteks pendapat dan aliran yang dipegang umum oleh jumhur dalam menerima dan menentukan tindakan yang selaras dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Perbezaan Sunni dan Syi’ah adalah perbezaan tradisi kehidupan bermazhab di kalangan umat Islam. Apa yang lebih penting adalah mentakribkan perbezaan-perbezaan dalam sifatnya akidah, syariah dan akhlak agar lebih mendekati kehendak Al-Quran dan As-sunnah.

Maka di sinilah terletaknya peranan seorang mujaddid; iaitu orang yang mahu mengembalikan ajaran Al-Quran dan As-sunnah menjadi amalan dan penghayatan umat pada zaman ini.

Dalam konteks ini peranan mujaddid ialah merungkaikan perselisihan di dalam isu perbezaan mazhab dan membawa ummah kepada perpaduan dan persaudaraan Islam yang sebenar.

Sememangnya isu mazhab adalah isu lama, tetapi kelamaannya itu telah melalui fasa dan zaman dimana penemuan-penemuan baru mengenai kelemahan feqah dan pendapat mazhab tertentu telah dikenal pasti di  tempat-tempat dan masa-masa tertentu. Misalnya hari ini kita dapati urusan zakat dengan memakai pendapat mazhab Hanafi lebih munasabah dalam masyarakat Malaysia yang bermazhab Syafi’e. Begitu juga dengan hak memiliki tanah seharusnya memakai pendapat kedua-dua mazhab ini.

Begitu juga pendapat berkaitan akidah apabila amalan mencaci para sahabat dan ummahatul mukminin (Sayyidina Ali, Sayyidina Abu Bakar, Sayyidatina ‘Aisyah dan lain-lain R.A) yang dianggap kafir dan mesti dilaknat adalah perkara yang tidak pernah ditemui kebenarannya semenjak dari 1300 tahun lalu hingga sekarang. Ini kerana tidak ada suatu logik dari segi hukum syarak, akal atau adat untuk mengatakan keharusan mencaci para sahabat dan ummahatul mukminin.

Apakah tidak cukup dengan perbalahan selama 1300 tahun yang lalu agar kita membuat penentuan pada zaman ini untuk mentakribkan (mendekatkan) mazhab-mazhab ini dengan meninggalkan pendapat yang songsang dan mengikuti pendapat yang didokong oleh para jumhurul ummah.

Sekiranya ada usaha baru dalam masyarakat Malaysia yang di bawa oleh mana-mana pihak untuk menanamkan pendapat seperti itu di dalam masysrakat ahli sunnah wal jamaah seperti di Malaysia, maka usaha seperti itu adalah sangat hina kerana ia membawa pendapat yang sepatutnya telah ditinggalkan melalui proses pemahaman Islam yang begitu panjang. Apatah lagi pendapat seperti itu telah memecah belahkan dan merosakkan hidup masyarakat Islam.


Setiap kita seharusnya berperanan untuk menguatkan umat Islam dan melepaskan belenggu kehinaan ummah kerana  perbezaan-perbezaan untuk kepentingan kuasa, politik dan mazhab tertentu. Kepentingan kita untuk mencari keredhaan Allah dan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam praktis hidup adalah sangat kritikal. Wallahua’lam..


No comments:

Post a Comment