Pelbagai persoalan yang membelenggu dalam benak pemikiran
seseorang di mana mereka ini menjadi pemerhati kepada setiap kejadian,
peristiwa dan perkara yang berlaku. Apa yang ingin saya coretkan adalah
berkaitan dengan kehidupan kita sebagai umat Islam.
Saya telah diajukan dengan satu persoalan yang cukup menarik
dan mendorong agar ia dikongsi kepada umat Islam di seluruh negara ini.
Perbualan antara saya dan seorang guru ringkas sahaja tetapi cukup bermakna.
Seorang guru di Ma’ahad Tahfiz wal Tarbiyyah (MTT) bertanya
kepada saya : apakah faktor kekuatan kita?
Secara ringkas saya menjawab : faktornya adalah kita
berjamaah dan bersaudara secara Islam.
Raut wajahnya nampak berbeza dan tertanya-tanya dengan
jawapan yang diberikan itu. Lalu saya menyambung, MTT (meneruskan perjuangan
Institut Berakan) sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) sudah beroperasi lebih 35
tahun, kekuatannya adalah berpunca daripada dasar berjamaah yang menjadi
pegangan sekolah ini.
Sejak dari awal penubuhannya sehingga ke hari ini, kita
berkhidmat dalam bidang pendidikan untuk membina insan muslim. Pemimpin dan
guru-guru menjadi mujahid Islam yang bekerja dengan bebas tanpa halangan yang
melemahkan perjuangan mereka.
Kita di sini berada dalam suasana berjamaah dan masyarakat
juga melihat kita berjamaah kerana itulah mereka menghantar anak-anak mereka
menuntut ilmu di sini serta memberikan sumbangan fisabilillah kepada sekolah.
Al-Quran menjelaskan :
MAKSUDNYA
: “Dan
berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah
kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara
hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah
kamu Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu
telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa
jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam
juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya,
supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”
(Surah Al-Imran; ayat 103)
Ayat ini memandu setiap orang Islam supaya ada dalam jamaah
dan tidak terkeluar daripadanya. Ia dihuraikan oleh hadis Rasulullah SAW
daripada Khuzaifah Ibn Al-Yaman yang bermaksud “Hendaklah kamu menyertai jamaah
Islam dan kepimpinannya”.
Kehidupan berjamaah adalah suatu konsep yang menjadi
pegangan hidup seseorang Muslim. Kehidupan tidak sempurna tanpa jamaah Islam
yang menjadi wadah kehidupannya. Prinsip ini meliputi dasar organisasi dan
negara kerana jamaah Islam adalah sebuah acuan besar di mana umat Islam berada
di dalamnya.
Sesungguhnya bentuk kehidupan Islam berjamaah itu adalah
satu dasar yang mesti diterima pakai oleh umat Islam di seluruh dunia. Dasar
ini dipraktikkan di dalam setiap entiti negara umat Islam secara yang jelas di
bawah pimpinan dan syuranya sehingga masing-masing dapat bergabung di bawah wadah
ummah yang dipimpin oleh khalifah Islam. Umat Islam tidak seharusnya terpisah
daripada ikatan jamaah yang memberi wala’ kepada Allah SWT dan Rasul-Nya
serta orang yang beriman.
Di Malaysia,kita bersyukur kerana berada di bawah jamaah
Islam yang begitu mantap iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS). Oleh itu,
kehidupan orang Islam di negara ini meliputi institusi, masyarakat serta
pemerintahnya hendaklah dibangunkan atas dasar berjamaah bersama PAS.
Berikutnya ialah kehidupan bersaudara secara Islam (ukhuwah
Islamiyah) di mana prinsipnya dijelaskan oleh Al-Quran :
MAKSUDNYA
: “Sebenarnya
orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua
saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu
beroleh rahmat”. (Surah Al-Hujurat; ayat 10)
Kehidupan ini tidak boleh
dirosakkan dengan perbalahan dan krisis sepertimana yang terkandung dalam
Al-Quran :
MAKSUDNYA
: “Dan
Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan;
kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan
sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah
beserta orang-orang Yang sabar.” (Surah Al-Anfaal; ayat 46)
Mutakhir ini, kekuatan umat Islam telah dirosakkan oleh
faktor hilangnya tanggungjawab berjamaah dan persaudaraan seperti yang
disebutkan oleh ayat di atas.
Ramai pemimpin negara umat Islam tidak mempedulikan kewajipan
memerintah demi menjaga jamaah umat Islam dan tidak sedikit pun mempedulikan
perintah Allah SWT supaya menjaga hubungan persaudaraan. Nampaknya sikap ini
sama seperti yang dicela dalam Al-Quran :
MAKSUDNYA
: “Patutkah
kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari
akan sebahagian Yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang Yang berbuat demikian
itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari
kiamat akan ditolak mereka ke Dalam azab seksa Yang amat berat. dan (ingatlah),
Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah; ayat 85)
Mamadailah ianya menjadi pengajaran kepada
ahli-ahli PAS agar berpegang teguh prinsip berjamaah dan bersaudara secara Islam.
Sebarang tindakan yang boleh melemahkan jamaah dan persaudaraan Islam tidak
dapat meningkatkan kualiti hidup umat pada hari ini.
*p/s : Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin kepada semua muslimin dan muslimat.
No comments:
Post a Comment