Pages

Wednesday 20 November 2013

MENJANA KECEMERLANGAN PAS

Mukaddimah 
Sebagai sebuah Jamaah Islam, PAS membangunkan gerakannya melalui pemerkasaan kepimpinan, organisasi dan gerak kerja yang menyeluruh dan berterusan. Tonggak kekuatan kepimpinan PAS adalah kesatuan pemikiran (Wehdatul Fikr) yang dengannya Jamaah PAS diperteguhkan dan pengaruh PAS dilebarkan. Kesatuan pemikiran ini menjadikan hala tuju PAS dapat dijayakan dan sokongan kepada PAS untuk menghadapi pilihan raya dapat digembelengkan. Aspek mentarbiyahkan ahli dan memilih pemimpin yang tepat serta gerakan mendidik masyarakat dengan Islam akan menjana kecemerlangan PAS.

Pemerkasaan Wehdatul Fikr
Pemerkasaan Wehdatul Fikr dalam PAS akan dapat dilaksanakan sekiranya ada kesediaan pemimpin dan ahli PAS untuk berakhlak Islam serta ikhlas dengan perjuangan menegakkan syariat Islam di Malaysia. Kita semua mestilah bertafaahum (salah satu daripada tiga rukun usrah; Ta‘aaruf, Tafaahum dan Takaaful) untuk merealisasikan Wehdatul Fikr ini. Tafaahum ini adalah berakar umbi kepada pergantungan dalam menyelesaikan masalah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah serta berpegang teguh kepada dasar-dasar Tarbiyah dan Jihad Islami dalam PAS, yakni beramal Jamaa‘i dengan PAS. Justeru, kita mahu mengislahkan pimpinan Parti untuk menjayakan tafaahum di kalangan mereka. PAS memerlukan pemimpin yang dapat membulatkan fikrah berjamaah untuk meneruskan perjuangannya demi kejayaan didunia dan akhirat. - “Tarbiyah dan Jihad Jalan Kita”

Pemantapan Hala Tuju Parti
Hala tuju PAS telah dijelaskan oleh Perlembagaan PAS dalam Fasal 5:
“ Tujuan PAS ialah; 1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. 2) Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara”.
Pemimpin PAS wajib mendokong Perlembagaan ini dengan mengambil kira PAS sebagai sebuah Jamaah yang berperanan dalam bidang politik dan dakwah serta bidang-bidang yang lain dalam konteks pembangunan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Peranan ini telah diadunkan dalam bentuk Muwajhah Silmiyyah. Strategi PAS untuk memenangi politik negara yang mengamalkan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan adalah melalui tahaluf siasi di samping terus menjalankan dakwah dan tarbiyah. Pemimpin PAS harus yakin bahawa hala tuju perjuangannya adalah untuk mendapatkan kejayaan yang kekal abadi (al-fauzul al-azim) dan kemenangan politik semasa melaksanakan pemerintahan Islam (fathun qarib). Semua elemen seperti pemikiran liberal dan lain-lain yang dilihat boleh melemahkan hala tuju PAS hendaklah diketepikan serta merta agar ianya tidak menjadi penyakit yang membarah.

Pemimpin-pemimpin PAS mestilah yakin bahawa Parti Islam SeMalaysia merupakan  sebuah Jamaah Islam di negara ini dan ia bukanlah frant politik semata-mata. Justeru itu, kepimpinan ulamak PAS menjadi tonggak kepada kepimpinan Jamaah ini.

Melebarkan Pengaruh PAS Khususnya di Kalangan Masyarakat Melayu
Pengaruh  untuk PAS akan meningkat sekiranya sentuhan yang dilakukan memikat hati masyarakat Melayu. Terdapat kalangan bangsawan Melayu, middle class, golongan agama (termasuk ulamak rasmi) dan masyarakat luar bandar serta peneroka FELDA yang masih jauh dengan PAS. Untuk mereka, sentuhan keagamaan dan perbincangan mesti dilakukan secara serius seperti yang dianjurkan oleh al-Quran dan dan as-Sunnah.

Pendekatan keilmuan dan Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar hendaklah dilakukan melalui program pendidikan masyarakat secara serius. Gerak kerja dakwah termasuk di Sabah dan Sarawak mesti dipergiatkan. Pusat-pusat pendidikan alternatif seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), sekolah rendah Islam dan sekolah menengah Islam seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan pusat pengajian tinggi Islam hendaklah dibangunkan dan diberikan pemerkasaan yang sesuai dengan perkembangan arus perdana pendidikan negara. Penerangan dan penyampaian isu semasa ke dalam masyarakat diteruskan dengan pelbagai kaedah semasa melalui pemerkasaan penerbitan dan pusat-pusat penyebaran maklumat.

            Memandangkan kepada isu masyarakat Melayu terbelakang dalam bidang ekonomi dan kualiti sosio-ekonomi rakyat yang rendah mengokong kesedaran politik mereka dan melemahkan kehidupan mereka, maka satu gerakan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Melayu seharusnya digembelengkan oleh PAS; Perundingan dengan masyarakat korporat, industri, profesional, teknokrat dan pertubuhan perniagaan dijanakan agar mereka dapat membantu pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Melayu melalui program-program yang ditertibkan oleh PAS.

PAS Memimpin Kemenangan
PRU ke-12 PAS memperolehi 23 kerusi Parlimen dan PRU ke-13 memperolehi 21 kerusi Parlimen. Kemenangan dalam PRU ke-14 akan datang sangat diperlukan untuk memastikan survival politik PAS sebagai sebuah Parti Islam. Ruang pengaruh PAS seharusnya ditingkatkan dikalangan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak disamping mengekalkan pengaruh dikalangan orang bukan Islam. Dakwah Islamiah dan kejelasan dasar berhubung dengan masyarakat bukan Islam dan rakyat Malaysia bermasyarakat majmuk semestinya dipertingkatkan. Dengan kata lain, pemerkasaan gerak kerja politik yang mempamerkan keutuhan PAS dan dominasinya ke atas masyarakat Melayu dan bukan Melayu di Malaysia melalui penerimaan terhadap Islam dari segi agama ataupun dari segi dasar mesti terus diperkasakan melalui dakwah dan siasah syari’ah.

Kepimpinan PAS diperingkat Pusat seharusnya dilihat mempunyai kemampuan keulamakan dan intelektual sebagai pemimpin negara dan pemimpin masa depan. PAS mempunyai sumber kepimpinan yang cukup di semua peringkat kerana PAS adalah sebuah gerakan massa. Namun tetap bergantung kepada nature pergerakan PAS sebagai sebuah Jamaah dan gerakan Islam yang berjuang secara silmi (politik dan dakwah). Kemenangan di negeri-negeri yang sedia ada akan dapat dipertingkat dan kemenangan baru akan diperolehi apabila keadilan dan kecaknaan terhadap rakyat dan kepentingan Islam boleh ditunjukkan melalui pemerintahan negeri-negeri Pakatan Rakyat pada masa ini. PAS akan dapat mencapai kemenangan sekiranya Jamaah ini mempamerkan wajah kepimpinan yang bersatu dan berbakti kepada rakyat dan negara ini.

Kepimpinan Tuan Guru Haji Abd. Hadi bin Awang sudah pun terserlah. Peranan beliau sebagai pemimpin politik dan ulamak menempatkannya pada kedudukan tertinggi dalam kepimpinan Islam di dalam dan di luar negara. Peranan beliau dalam percaturan politik antarabangsa yang membabitkan umat Islam amat disegani. Kita memerlukan pemimpin seperti beliau untuk menerajui politik ummat seluruhnya. Mengukuhkan kepimpinan beliau akan menempatkan PAS dipersada politik tanah air dan politik antarabangsa. Jihad ummat diperlukan dan kepimpinan  Tuan Guru Haji Abd. Hadi bin Awang yang komited dengan tarbiyah dan jihad seperti yang ditunjukkan dalam kes Mamali menjadikan PAS sebuah gerakan umat yang menuntut keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat.

Saranan
Untuk kecemerlangan, PAS hendaklah diislahkan dari segi kepimpinan dan gerak kerjanya. Justeru, tarbiyah dan jihad adalah jalannya.

Daripada:
Ust. Abu Bakar Chik
20/11/2013


No comments:

Post a Comment