Pages

Sunday 28 July 2013

Islam Dan Demokrasi

Saban hari kita berfikir perkembangan di bumi Mesir dimana berlakunya pertembungan di kalangan rakyat dalam sebuah negara Islam. Demi kuasa, pihak tentera bersama dengan sebahagian rakyat dan mereka yang membenci kebangkitan Islam melakukan huru-hara di bumi anbiya’ ini. 

Ada di kalangan mereka yang bergelar ulama’ -demi kesenangan hidup dunia- seperti Ali Juma’ah (bekas mufti) dan Ahmad al Tayyeb (Sheikh Al Azhar) tanpa segan silu menyokong rampasan kuasa tentera dengan anggapan ianya lebih baik daripada pimpinan Ikhwanul Muslimin. Mereka telah ditanam oleh Mubarak untuk menjaga kepentingan rejim itu.

Senario seperti ini boleh berlaku dalam semua negara umat Islam, apabila masyarakat orang Islam termasuk tentera dan polis telah menjadi golongan sekular dan munafik yang bertopengkan agama untuk kesenangan hidup dunia, lebih-lebih lagi apabila mereka disokong oleh kuasa kuffar yang selamanya dendam terhadap Islam. 

 Tiada lagi istilah maruah bagi pemimpin-pemimpin negara Arab seperti Saudi dan Emirates yang selama ini kononnya menentang Iran kerana Syi’ahnya tetapi pada hari ini menentang Ikhwanul Muslimin tanpa apa-apa sebab.

Di Malaysia, PAS sebagai sebuah jamaah Islam dan gerakan Islam menggunakan kaedah perjuangan aman (muwajahah silmiah) melalui pilihanraya bagi menyampaikan dakwah dan memerintah dengan adil sepertimana diajar oleh Islam.

PAS berdepan dengan dua persoalan, pertamanya sejauh manakah orang melayu Islam daripada rakyat miskin, golongan yang tidak memahami agama Islam, golongan pertengahan Melayu dan bangsawan Melayu boleh menyokong dan menerima PAS atas nama demokrasi sama ada PAS bersendirian atau bersama dengan parti-parti yang lain.

Kedua, adakah parti UMNO dan BN boleh menerima kekalahan dalam pilihanraya sedangkan mereka tidak pernah berkompromi untuk memberikan kebebasan kepada PAS dalam menggunakan media dan mendapatkan hak sebenar melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecuali meletakkan calon dan mendapatkan undi. Tetapi dalam masa yang sama media rasmi, jentera kerajaan dan peruntukkan kewangan di peringkat pusat/negeri sedikit pun tidak membolehkan PAS mempunyai persediaan seperti pihak kerajaan dalam menghadapi pilihan raya.

Sekiranya sikap UMNO dan BN berterusan begini, jelas melakukan penipuan dan monopoli sumber kerajaan dan rakyat dalam sistem demokrasi, apalah yang hendak diharap untuk mereka menerima kekalahan pilihan raya?

Justeru, langkah mengukuhkan PAS sebagai jamaah Islam dan Harakah Islam mestilah disertai dengan langkah meningkatkan keupayaan dakwah dalam masyarakat agar benteng penentangan orang melayu terhadap PAS dapat ditembusi. 

Sebagai jemaah dan parti Islam, PAS tidak perlu terjebak dengan ketakutan untuk berada dalam masyarakat dan berdepan dengan pelbagai permasalahan dakwah kerana keteguhan PAS tidak memberi apa-apa makna tanpa memberi kesan dalam dakwah kepada masyarakat.

Janganlah kita mengharapkan orang-orang UMNO akan menyokong PAS tanpa kesedaran Islam atau kepercayaan kepada parti Islam sedangkan politik adalah untuk menjaga Islam. Sekiranya Islam tidak dapat disampaikan, apalah maknanya politik itu sendiri.

Kita mengutuk sekeras-kerasnya rampasan kuasa di Mesir dan mendoakan agar Mohamad Mursi yang memenanggi pilihan raya dipulihkan kekuasaannya. ALLAHU AKBAR!! ALLAHU AKBAR!!

No comments:

Post a Comment