Pages

Sunday 13 October 2013

PBS: SEKOLAH BUKAN BAHAN UJI KAJI


Lajnah Pendidikan PAS Pusat sentiasa memberi perhatian kepada dasar-dasar awam berkaitan  pendidikan di negara ini.  Mutakhir ini, berita mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) sebagai  ganti kepada Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah menarik perhatian kami.

PBSMR telah diputuskan pelaksanaannya menggantikan PMR di bawah satu dasar yang dikenali dengan  Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). PBS ini telah mendapat banyak kritikan daripada guru kerana sistemnya yang sukar untuk dilaksanakan dengan lancar disebabkan oleh kekurangan  prasarana serta isu-isu lain yang berkaitan seperti nisbah guru dan pelajar.

Persoalannya, bagaimana satu perubahan yang besar melibatkan masa depan pelajar boleh dilakukan mungkin dengan keadaan tergesa-gesa tanpa persediaan yang mencukupi?

Di samping itu, sebagaimana yang telah dimaklumkan (seperti yang dilaporkan di muka hadapan akhbar Berita Harian; 01 Oktober 2013) bahawa peperiksaan PBSMR ini hanya membabitkan empat subjek teras sahaja iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Format baru dijangka akan dimuktamadkan November ini.

Persoalannya, kenapa PBS telah diputuskan di peringkat PMR dan bukannya UPSR malah kenapa empat subjek teras tersebut peperiksaannya dilakukan secara berpusat seolah-olah pentaksiran berasaskan sekolah itu tidak  diyakini.

Berdasarkan pelaksanaan sedia ada, PMR adalah peperiksaan peringkat menengah rendah yang membolehkan penilaian diambil ke atas pelajar bagi mengagihkan mereka sama ada kepada aliran Sains, sains sosial atau sastera. Walaubagaimanapun, kerajaan dilihat sangat beria-ria hendak menghapuskan PMR dan menggantikan dengan PBSMR.

Adalah lebih baik sekiranya dalam pelaksanaan PBS  pentaksiran ialah di peringkat UPSR iaitu peringkat yang paling asas. Dengan itu kelemahan dapat di atasi dan keraguan terhadap kemampuan guru dan sekolah dalam PBS di peringkat UPSR tidak menjadi persoalan yang terlalu besar berbanding di peringkat PMR.

Isu yang kedua ialah berkaitan empat subjek teras termasuklah subjek Bahasa Inggeris yang wajib lulus di peringkat SPM mulai tahun 2016.

Setelah kajian dilakukan dengan 'panjang lebar' dengan menelan belanja sebanyak RM20 juta melibatkan konsultan luar negara, didapati  kerajaan ingin kembali kepada pusingan awal yang mahukan Bahasa Inggeris berada di peringkat tertinggi dalam dasar pendidikan negara malah subjek Sains dan Matematik turut serta menjadi sebahagian daripadanya. Difahamkan kertas peperiksaan PBSMR akan menggunakan dwibahasa.

Apa yang menyedihkan ialah subjek agama Islam tidak pula diwajibkan lulus dan tidak termasuk di dalam subjek yang wajib dinilai di peringkat tertinggi. Seharusnya subjek agama Islam dipandang serius bagi mendidik pelajar berakhlak mulia serta beramal dengan ajaran Islam.

Kami mengingatkan  kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya tidak menjadikan sekolah sebagai bahan uji kaji dan menjadikan pendidikan sebagai produk perniagaan kepada mana-mana pihak untuk mengaut keuntungan seperti yang telah berlaku dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Di samping itu, Lajnah Pendidikan PAS Pusat juga memberi peringatan agar kerajaan tidak merencanakan bidang pendidikan negara ini untuk membaratkan rakyat dan melemahkan jati diri umat Islam.


Dato’ Ustaz Abu Bakar Bin Chik
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat



13 OKTOBER 2013 

No comments:

Post a Comment