Pages

Friday, 27 September 2013

Mewajibkan Kelulusan Bahasa Inggeris Dalam SPM Melemahkan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan Jati Diri Bangsa


Keputusan kerajaan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus menjelang tahun 2016 menimbulkan pelbagai reaksi tidak senang di kalangan masyarakat terutamanya dari kalangan penduduk luar bandar.

Parti Islam Se-Malaysia mengambil pendirian bahawa keputusan yang dibuat pada ketika ini tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara. Justeru itu, ianya mestilah dibatalkan. Pendirian ini dibuat setelah menyaksikan pelbagai perkara yang membabitkan dasar pelajaran dan pendidikan negara semenjak merdeka sehingga sekarang terutamanya dalam konteks pembinaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan.

Dari sudut pencapaian Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi yang melonjakkannya sebagai bahasa medium nasional dan bahasa akademik telah membawa banyak kejayaan. Namun begitu, pencapaian ini telah dirosakkan dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Keputusan melaksanakan PPSMI adalah suatu kemalangan besar yang telah mengorbankan dasar memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa akademik disamping merobekkan jati diri nasional yang seharusnya dibangunkan dalam pendidikan negara.

Alasan yang digunakan ketika pelaksanaan PPSMI adalah untuk pembangunan pendidikan yang akan memajukan negara ini pada masa depan.

Hari ini, Bahasa Inggeris diwajibkan lulus dalam peperiksaan SPM pada tahun 2016. Suatu kenyataan yang sangat meragukan mengenai hala tuju pendidikan negara ini. Pihak kerajaan seharusnya mengetahui standard dan piawaian wajib bagi sesuatu matapelajaran yang diajar kepada pelajar. Wajib sebagai suatu rukun kepada sesuatu amalan yang bererti tanpa rukun itu amalan tidak dikira sah dan terpakai.
Wajib lulus bukan setakat satu kenyataan tetapi adalah satu keputusan yang menghubungkan pelajar dengan peluang menyambung pelajaran dan kerjayanya.

Sememangnya sudah diketahui umum bahawa pasaran pekerjaan memerlukan kemahiran menguasai Bahasa Inggeris. Maka kedudukan Bahasa Inggeris dalam hal yang sedemikian itu sudah cukup untuk mendorong mereka mempelajarinya serta mengejarnya bagi mencapai sesebuah kejayaan dalam kehidupan dan kerjaya.

Namun mewajibkan lulus bagi matapelajaran Bahasa Inggeris dalam SPM adalah suatu perkara yang asing dalam konteks pembangunan dasar nasional untuk mengukuhkan integriti dan membina jati diri rakyat dan hak keilmuan yang seharusnya dimajukan melalui Bahasa Malaysia. Sedangkan negara  kita sekarang mengalami banyak kekurangan dalam prasarana dan kemudahan pendidikan di seluruh negara terutamanya di Sabah dan Sarawak. Secara khusus, kekurangan guru Bahasa Inggeris yang berkelayakan masih menjadi isu utama yang belum dapat diselesaikan seperti yang pernah didedahkan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa seramai 61,000 guru Bahasa Inggeris perlu mengikuti Ujian Cambridge Placement (CPT) untuk mengetahui kemampuan mereka bertutur dan mengajar Bahasa Inggeris. Bahkan beliau mengakui hanya satu pertiga sahaja daripada guru Bahasa Inggeris yang ada di negara ini  layak mengajar matapelajaran itu.

Pihak kerajaan pusat seharusnya memahami implikasi mewajibkan lulus Bahasa Inggeris akan menyebabkan tekanan kepada pelajar, guru dan juga pihak sekolah berbanding dengan kemampuan mereka dalam menjayakan kewajipan itu serentak memajukan dan menjayakan matapelajaran lain. Sedangkan menjayakan matapelajaran yang lain adalah jauh lebih penting berbanding dengan lulus di dalam Bahasa Inggeris dalam konteks keilmuan dan pendidikan keseluruhannya.

Kita yakin bahawa pencapaian yang telah diperolehi melalui penggunaan Bahasa Malaysia sebagai medium pengajaran dan pembelajaran telah memberi kejayaan kepada pembangunan, pendidikan ala Malaysia seterusnya membawa Malaysia ke arah sebuah negara maju. Pelajar-pelajar dalam negeri atau luar negeri telah dapat menyambung pelajaran dan mendapat kejayaan pada masa yang lepas dengan tidak sedikit pun menafikan peranan Bahasa Inggeris yang mereka perolehi sebagai bahasa komunikasi dan akademik yang menyokong keupayaan mereka di semua peringkat pengajian di pusat-pusat pengajian tinggi.

PAS menyeru semua pihak agar kembali kepada realiti membangunkan sesuatu bangsa adalah berteraskan kepada keupayaan pembangunan ilmu anak bangsa itu. Ilmu adalah suatu cahaya yang menyerap ke dalam minda dan jiwa seseorang melalui pemahaman dan penguasaan secara mendalam mengenai konsep dan aplikasinya. Ilmu juga merupakan disiplin daripada apistemologi ilmu yang pelbagai dan yang paling tinggi adalah ilmu wahyu daripada Bahasa Arab yang mampu membina hati budi dan peradaban manusia dan sesebuah bangsa.

Mewajibkan kelulusan Bahasa Inggeris dalam peperiksaan walaupun dilihat pada permukaannya sebagai satu sebab kemajuan bangsa Malaysia pada masa hadapan, namun ianya adalah suatu dikonomi yang melebihkan Bahasa Inggeris bukan pada tempatnya. Kita juga menyatakan bahawa diskriminasi telah berlaku di negara ini untuk memajukan Bahasa Malaysia berbanding usaha memajukan Bahasa Inggeris sehinggakan Bahasa Malaysia dilihat sepi oleh sesetengah menteri kita.

PAS yakin pembangunan pendidikan di Malaysia akan dijayakan dengan baik apabila hak anak-anak pribumi untuk menikmati ilmu dalam bahasa ibundanya sendiri dapat direalisasikan. Sebaliknya mewajibkan Bahasa Inggeris lulus bagi setiap pelajar SPM bermula dari 2016 akan melemahkan mereka dan kelemahan itu tidak akan dapat diselesaikan tanpa mengorbankan keutamaan yang lain untuk pembangunan generasi anak Malaysia yang berjati diri.



DATO’ USTAZ ABU BAKAR BIN CHIK
(Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat)


Kuala Terengganu, 27 September 2013

No comments:

Post a Comment