Pages

Friday 1 November 2013

LEGASI (WARISAN) ALMARHUM USTAZ HAJI AZIZAN BIN ABDUL RAZAK (TAN SRI DATO’ SERI DIRAJA) DALAM KEPIMPINAN ISLAM, POLITIK DAN PENDIDIKAN – SEMOGA ALLAH SWT MERAHMATINYA.

KENYATAAN AKHBAR

Almarhum dilahirkan pada 25 Oktober 1944, merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid selepas PAS dan Parti Keadilan Rakyat membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-12, pada tahun 2008. Beliau juga merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau kemudian melanjutkan pelajaran ke Maktab Mahmud, Alor Setar (1959-1965). Seterusnya beliau menjadi tenaga pengajar di Maktab ini pada tahun 1966. Berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar dan Sarjana Undang-Undang Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom. Almarhum juga mahir dalam bidang Usul Fiqh.

Almarhum Ustaz Haji Azizan Abdul Razak telah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia  dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah. Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1983-1984, 1986-1995). Sebagai seorang pendidik, beliau menguasai ilmu dan menghayati nilai-nilai keilmuan; mengajar dengan penuh dedikasi dan berfikiran terbuka serta berprofessional.

Almarhum mula menyertai PAS pada tahun 1978 di England dan bergiat aktif dengan PAS di Malaysia pada tahun 1986. Beliau merupakan Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Naib Presiden Pas (2003-2005), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991-2013) dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993-2013). Selain itu beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah sehingga ke akhir hayatnya dan memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon Barisan Nasional. Beliau juga pernah mewakili PAS ke Majlis Perunding Ekonomi Negara (MAPEN) pada tahun 1989.

Almarhum merupakan seorang yang sangat prihatin terhadap rakyat dan senantiasa memastikan kebajikan rakyat terjaga. Ini dapat dilihat apabila beliau sentiasa mengambil berat hal kebajikan masyarakat termasuk kebajikan warga emas, ibu tunggal dan mereka yang ditimpa kesusahan dan musibah. Almarhum juga seorang yang tegas terhadap keputusan yang dilakukan dan amat gemar menyatakan pandangan serta komentar apabila keadaan yang dilihatnya memerlukan almarhum bersuara.

Beliau telah memimpin kerajaan negeri Kedah sebagai Menteri Besar dengan jayanya. Sifatnya sebagai seorang ahli politik dan pendidik bahkan sebagai seorang ulama’ telah menyumbang kepada pembangunan politik Islam di Kedah khususnya dan di Malaysia umumnya. Beliau telah berjaya memimpin dan mendidik rakyat di Kedah hidup dalam budaya ilmu dan berakhlak.  

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Lajnah Pendidikan PAS Pusat mengucapkan sekalung tahniah di atas perkhidmatan yang diberikan oleh almarhum selama memimpin PAS dan mentadbir negeri Kedah. Sesungguhnya, almarhum telah menaburkan baktinya mendidik pelajar-pelajar, pegawai-pegawai dan orang ramai untuk mengenali Islam dan perjuangannya. Semoga kepimpinannya dan ilmu yang dicurahkannya menjadi ilmu yang dimanfaatkan (digunakan oleh orang lain) sehingga melayakkannya diberikan pahala yang berterusan oleh Allah SWT kerana sifatnya sebagai guru dan pendidik kepada generasi di belakangnya. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin ya rabbal alamin.


Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik


01 NOVEMBER 2013


No comments:

Post a Comment