Semenjak 500 tahun yang lalu, muncul kefahaman dan aliran yang sangat berbeza dengan aliran mazhab yang biasa iaitu perkembangan pemikiran yang bersifat filsafat dan kebebasan hawa nafsu. Hal ini berkembang dan menjadi fahaman sekular dengan pengertian tradisinya tidak mahu menyatupadukan pegangan politik dengan pegangan keagamaan sehingga pemimpin dan pemerintah di kalangan orang Islam memperalatkan agama atas nama orang Islam tetapi tidak mahu berpegang dengan ajaran Islam yang dipegang oleh jumhurul ummah. Mereka menafsirkan Al-Quran dan As-sunnah untuk diselaraskan dengan pegangan sekular mereka dan terus memperalatkan agama untuk mengekalkan kuasa mereka dan mengajak orang Islam bersama dengan mereka.
Aliran pemikiran seperti ini telah dibina oleh
penentang-penentang gereja dan kemudiannya paderi-paderi serta
pedagang-pedagang yang menjajah negara umat Islam. Malah mereka mendapat
kepentingan bersama dengan mengembangkan sekular yang menjauhkan umat Islam
daripada agama, disamping menjajah negara-negara umat Islam dan mengaut
keuntungan ekonomi daripada bumi umat Islam serta mengembangkan agama Kristian.
Apabila mereka keluar daripada tanah jajahan ini, mereka meninggalkan
penguasa-penguasa sekular sehingga mendarah daging dalam diri dan memerintah
seperti mana mereka memerintah sebelum itu.
Perkara berkenaan telah disebut oleh Lord Cromer dan Glad
Stone. Maka sebahagian daripada anggota umat Islam daripada pelbagai mazhab
mendokong fahaman sekular dan memperjuangkannya sebagai fahaman baru melalui
sistem demokrasi, bahkan apabila mereka memerintah atau kalah melalui pilihanraya,
mereka akan melakukan tipu helah dan keganasan bagi memastikan golongan mereka
tetap berkuasa dalam negara-negara berkenaan.
Ironinya lagi apabila bangsa Arab dan kerajaan mereka
membuat pendirian bahawa jumhurul ummah tidak sepatutnya diberikan peluang
berkuasa secara demokrasi seperti sokongan Raja Abdullah Abd. Aziz (Arab Saudi)
kepada perampas kuasa di Mesir, serta turut disokong oleh Raja Emirate dan Raja
Quwait.
Tidak kurang ironinya apabila ada ulama’ tertentu dunia yang
memakai serban para ulama’ ahli sunnah wal jamaah tidak langsung mengambil kira
pendapat jumhur dalam menentukan pendirian ke atas masalah umat Islam di Mesir.
Marilah sama-sama kita merenung kepada Al-Quran dan
As-sunnah yang tegas mengatakan pendirian yang wajib diambil oleh seseorang
Islam iaitu :
a) Meyakini bahawa umat Islam itu adalah satu dan inilah
wadah dan bekas dimana orang Islam berada di dalamnya. Umat Islam bukan dua, bukan
juga tiga, ianya adalah satu kerana agamanya adalah satu.
b) Jamaah Islam atau Hizbullah (Al-Maaidah,54-56;
Al-Mujadalah,52; dan hadith Khuzaifah ibnul Yaman) adalah kumpulan yang memimpin umat Islam dan
mereka adalah orang-orang yang layak membentuk Syura yang terdiri daripada para
ulama’ yang takutkan Allah SWT. Sesungguhnya ulama’ itu adalah orang yang takut
kepada Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Bahawasanya
mereka yang menjadi ulama’ itu adalah orang yang takut kepada Allah SWT”.
c) Persaudaraan Islam adalah yang mengikatkan antara hati di
kalangan orang-orang yang beriman satu sama lain berdasarkan ayat Al-Quran : “Bahawasanya
orang-orang yang beriman itu sahajalah yang bersaudara”.
Ikatan ini seharusnya menjadi pegangan yang tidak boleh
dirungkai sehingga anggota-anggota umat Islam menjadi satu tubuh badan sahaja
seperti yang diibaratkan oleh hadis Rasulullah SAW iaitu “apabila sakit
salah satu anggota badan, maka seluruh anggota badan tidak mampu tidur dan
demam”.
Marilah kita berpegang kepada nas Al-Quran dan As-sunnah
yang memerintahkan kita untuk melaksanakan kedudukan kita dan menghayatinya
secara kehidupan berjamaah dan bersaudara secara Islam. Sesungguhnya kehidupan
berjamaah dan budaya ummah yang satu mengatasi kepentingan mazhab parti politik
dan golongan tertentu seperti persaudaraan Islam yang melangkaui kepentingan
bangsa, kaum dan kumpulan-kumpulan tertentu.
Rasulullah SAW meninggalkan kita dengan Kitab Al-Quran dan
As-sunnah, maka kita tidak akan sesat sekiranya kita berpegang kepadanya.
Insya’ Allah kita berusaha mengembalikan persatuan ummah dan persaudaraan Islam
melalui kepimpinan jamaah Islam di seluruh dunia.