Pages

Sunday, 13 October 2013

PBS: SEKOLAH BUKAN BAHAN UJI KAJI


Lajnah Pendidikan PAS Pusat sentiasa memberi perhatian kepada dasar-dasar awam berkaitan  pendidikan di negara ini.  Mutakhir ini, berita mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR) sebagai  ganti kepada Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah menarik perhatian kami.

PBSMR telah diputuskan pelaksanaannya menggantikan PMR di bawah satu dasar yang dikenali dengan  Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). PBS ini telah mendapat banyak kritikan daripada guru kerana sistemnya yang sukar untuk dilaksanakan dengan lancar disebabkan oleh kekurangan  prasarana serta isu-isu lain yang berkaitan seperti nisbah guru dan pelajar.

Persoalannya, bagaimana satu perubahan yang besar melibatkan masa depan pelajar boleh dilakukan mungkin dengan keadaan tergesa-gesa tanpa persediaan yang mencukupi?

Di samping itu, sebagaimana yang telah dimaklumkan (seperti yang dilaporkan di muka hadapan akhbar Berita Harian; 01 Oktober 2013) bahawa peperiksaan PBSMR ini hanya membabitkan empat subjek teras sahaja iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Format baru dijangka akan dimuktamadkan November ini.

Persoalannya, kenapa PBS telah diputuskan di peringkat PMR dan bukannya UPSR malah kenapa empat subjek teras tersebut peperiksaannya dilakukan secara berpusat seolah-olah pentaksiran berasaskan sekolah itu tidak  diyakini.

Berdasarkan pelaksanaan sedia ada, PMR adalah peperiksaan peringkat menengah rendah yang membolehkan penilaian diambil ke atas pelajar bagi mengagihkan mereka sama ada kepada aliran Sains, sains sosial atau sastera. Walaubagaimanapun, kerajaan dilihat sangat beria-ria hendak menghapuskan PMR dan menggantikan dengan PBSMR.

Adalah lebih baik sekiranya dalam pelaksanaan PBS  pentaksiran ialah di peringkat UPSR iaitu peringkat yang paling asas. Dengan itu kelemahan dapat di atasi dan keraguan terhadap kemampuan guru dan sekolah dalam PBS di peringkat UPSR tidak menjadi persoalan yang terlalu besar berbanding di peringkat PMR.

Isu yang kedua ialah berkaitan empat subjek teras termasuklah subjek Bahasa Inggeris yang wajib lulus di peringkat SPM mulai tahun 2016.

Setelah kajian dilakukan dengan 'panjang lebar' dengan menelan belanja sebanyak RM20 juta melibatkan konsultan luar negara, didapati  kerajaan ingin kembali kepada pusingan awal yang mahukan Bahasa Inggeris berada di peringkat tertinggi dalam dasar pendidikan negara malah subjek Sains dan Matematik turut serta menjadi sebahagian daripadanya. Difahamkan kertas peperiksaan PBSMR akan menggunakan dwibahasa.

Apa yang menyedihkan ialah subjek agama Islam tidak pula diwajibkan lulus dan tidak termasuk di dalam subjek yang wajib dinilai di peringkat tertinggi. Seharusnya subjek agama Islam dipandang serius bagi mendidik pelajar berakhlak mulia serta beramal dengan ajaran Islam.

Kami mengingatkan  kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya tidak menjadikan sekolah sebagai bahan uji kaji dan menjadikan pendidikan sebagai produk perniagaan kepada mana-mana pihak untuk mengaut keuntungan seperti yang telah berlaku dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Di samping itu, Lajnah Pendidikan PAS Pusat juga memberi peringatan agar kerajaan tidak merencanakan bidang pendidikan negara ini untuk membaratkan rakyat dan melemahkan jati diri umat Islam.


Dato’ Ustaz Abu Bakar Bin Chik
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat



13 OKTOBER 2013 

Tuesday, 8 October 2013

Rakyat Memerlukan Undang-Undang Islam


Pindaan dan pemerluasan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang baru diluluskan tidak menunjukkan sebarang pendekatan untuk membuat undang-undang yang dikehendaki oleh Islam. Oleh kerana itu, Lajnah Pendidikan PAS Pusat mengajak rakyat agar memahami perkembangan semasa yang sedang berlaku di dalam negara ini di mana pihak berkuasa sedang mengamalkan pemerintahan yang tidak demokratik dan mengamalkan prinsip-prinsip pemerintahan diktator.

Kelulusan  Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 2013 telah mengembalikan semangat ISA dan EO iaitu penahanan tanpa bicara selama dua tahun yang boleh diperbaharui lagi untuk tempoh selama-lamanya sama seperti ISA dan EO.

Sekiranya berlaku penahanan seperti ini, ianya akan mengulangi dan balik semula kepada undang-undang gasar (barbaric) yang sama sekali tidak sesuai dengan kebebasan individu dan merampas hak-hak asasi seseorang manusia.

Seperti yang dimaklumi undang-undang seperti EO memberi kuasa kepada menteri untuk menahan seseorang atas budi bicara menteri. Manakala, PCA dianggotai oleh lima orang yang diberikan kuasa untuk mengeluarkan perintah.

Walaubagaimanapun, badan pencegahan jenayah tersebut tiada kuasa untuk menyiasat, memeriksa semula ketepatan siasatan kepada apa-apa penemuan oleh pegawai penyiasat. Oleh kerana itu badan pencegahan jenayah tersebut ketika menggunakan budi bicaranya  mengeluarkan perintah tahanan secara efektifnya tertakluk kepada laporan oleh pegawai siasatan.     

Lebih mendukacitakan sebarang keputusan oleh badan pencegahan jenayah tersebut tidak boleh dicabar di mahkamah melainkan ketidakpatuhan prosedur.

Oleh itu, penahanan tanpa bicara ini adalah satu alat yang memberi kuasa kepada kerajaan sekarang dan boleh disalahgunakan sepertimana ISA dan EO dimana kita melihat activist masyarakat, pemimpin politik, blogger dan wartawan ditahan untuk menyekat tentangan politik kepada kerajaan.

Saya suka mengambil kesempatan dalam ruangan ini, bahawa sebagai salah seorang bekas tahanan ISA di Kemunting (1984-1986), saya menegaskan bahawa penahanan saya itu tidak ada sebab lain melainkan sebab politik. Dimana tujuan pihak berkuasa adalah untuk membendung pengaruh PAS dan hasrat kerajaan untuk melaksanakan pemerintahan secara tidak demokratik.

Saya telah merasai apa yang menimpa diri saya adalah kezaliman yang telah dilakukan oleh kerajaan BN ke atas diri saya. Daripada awal penahanan, saya telah mencabar mereka untuk menuduh saya di bawah mana-mana undang dan di bawa kes ke mahkamah. Mereka menahan saya selama dua tahun dua bulan adalah bagi memuaskan nafsu besar Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri pada ketika itu. 

Apa yang seharusnya dilakukan oleh kerajaan pada hari ini ialah mengajak para alim ulama’ dan pakar undang-undang khususnya pakar di dalam perundangan Islam untuk memulakan suatu penggubalan undang-undang baru yang lebih mendekati kehendak syara’ dan mampu menjaga kepentingan asasi manusia iaitu agamanya, nyawanya, akalnya, keturunannya dan harta bendanya.

Tentulah tidak dapat dinafikan bahawa undang-undang hudud dan qisas serta takzir atau pun undang-undang berdasarkan Syariat Islam telah dijamin keadilannya oleh Allah SWT yang mencipta alam ini.

Marilah kita sama-sama mengambil peringatan dengan firman Allah SWT :


MAKSUDNYA : (setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah ugama Yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, Iaitu ugama Yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama Yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Surah Ar-Ruum; 30)

Kenapakah manusia ini apabila gagal melakukan kebaikan atau menghadapai kesusahan kerana perlakuan manusia itu sendiri tidak mahu kembali kepada perintah Allah SWT seru sekalian alam. Sebaliknya mahu melakukan kezaliman ke atas manusia dengan undang-undang kebinatangan yang menggunakan kuasa kerajaan terhadap rakyat.

PAS sentiasa waspada terhadap usaha kerajaan mengongkong rakyat sehingga mereka tidak bebas mempraktikkan hak-hak mereka sebaliknya PAS juga ingin menyaksikan bahawa kerajaan telah membuka luas pintu jenayah negara ini melalui dasar liberal mereka dan mendiskriminasikan Islam dan penganutnya di negara ini. Kita memberi amaran kepada kerajaan janganlah menggunakan kuasa dan menjadi Taghut (tuhan kebendaan) bagi menguasai rakyat negara ini.

Lajnah Pendidikan PAS Pusat mengajak rakyat dan mereka yang prihatin dalam menegakkan keadilan serta mengembalikan hak rakyat dan umat Islam agar memberi perhatian dan membuat pendirian yang selaras dengan kehendak Islam. Saya mengajak semua pihak khususnya umat Islam agar kita kembali kepada penghayatan Syariat Islam kerana seperti kata para ugama kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada kekal dalam kebatilan.





DATO’ USTAZ ABU BAKAR BIN CHIK
(Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat)

Kuala Terengganu, 08 Oktober 2013