Keputusan kerajaan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata
pelajaran wajib lulus menjelang tahun 2016 menimbulkan pelbagai reaksi tidak
senang di kalangan masyarakat terutamanya dari kalangan penduduk luar bandar.
Parti Islam Se-Malaysia mengambil pendirian bahawa keputusan yang
dibuat pada ketika ini tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara. Justeru
itu, ianya mestilah dibatalkan. Pendirian ini dibuat setelah menyaksikan
pelbagai perkara yang membabitkan dasar pelajaran dan pendidikan negara
semenjak merdeka sehingga sekarang terutamanya dalam konteks pembinaan Bahasa
Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan.
Dari sudut pencapaian Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi yang
melonjakkannya sebagai bahasa medium nasional dan bahasa akademik telah membawa
banyak kejayaan. Namun begitu, pencapaian ini telah dirosakkan dengan dasar Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Keputusan
melaksanakan PPSMI adalah suatu kemalangan besar yang telah mengorbankan dasar
memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa akademik disamping merobekkan jati
diri nasional yang seharusnya dibangunkan dalam pendidikan negara.
Alasan yang digunakan ketika pelaksanaan PPSMI adalah untuk
pembangunan pendidikan yang akan memajukan negara ini pada masa depan.
Hari ini, Bahasa Inggeris diwajibkan lulus dalam peperiksaan SPM pada
tahun 2016. Suatu kenyataan yang sangat meragukan mengenai hala tuju pendidikan
negara ini. Pihak kerajaan seharusnya mengetahui standard dan piawaian wajib
bagi sesuatu matapelajaran yang diajar kepada pelajar. Wajib sebagai suatu
rukun kepada sesuatu amalan yang bererti tanpa rukun itu amalan tidak dikira
sah dan terpakai.
Wajib lulus bukan setakat satu kenyataan tetapi adalah satu
keputusan yang menghubungkan pelajar dengan peluang menyambung pelajaran dan
kerjayanya.
Sememangnya sudah diketahui umum bahawa pasaran pekerjaan
memerlukan kemahiran menguasai Bahasa Inggeris. Maka kedudukan Bahasa Inggeris dalam
hal yang sedemikian itu sudah cukup untuk mendorong mereka mempelajarinya serta
mengejarnya bagi mencapai sesebuah kejayaan dalam kehidupan dan kerjaya.
Namun mewajibkan lulus bagi matapelajaran Bahasa Inggeris dalam SPM
adalah suatu perkara yang asing dalam konteks pembangunan dasar nasional untuk
mengukuhkan integriti dan membina jati diri rakyat dan hak keilmuan yang
seharusnya dimajukan melalui Bahasa Malaysia. Sedangkan negara kita sekarang mengalami banyak kekurangan
dalam prasarana dan kemudahan pendidikan di seluruh negara terutamanya di Sabah
dan Sarawak. Secara khusus, kekurangan guru Bahasa Inggeris yang berkelayakan
masih menjadi isu utama yang belum dapat diselesaikan seperti yang pernah didedahkan
oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa seramai 61,000 guru
Bahasa Inggeris perlu mengikuti Ujian Cambridge Placement (CPT) untuk
mengetahui kemampuan mereka bertutur dan mengajar Bahasa Inggeris. Bahkan beliau
mengakui hanya satu pertiga sahaja daripada guru Bahasa Inggeris yang ada di
negara ini layak mengajar matapelajaran
itu.
Pihak kerajaan pusat seharusnya memahami implikasi mewajibkan lulus
Bahasa Inggeris akan menyebabkan tekanan kepada pelajar, guru dan juga pihak
sekolah berbanding dengan kemampuan mereka dalam menjayakan kewajipan itu serentak
memajukan dan menjayakan matapelajaran lain. Sedangkan menjayakan matapelajaran
yang lain adalah jauh lebih penting berbanding dengan lulus di dalam Bahasa
Inggeris dalam konteks keilmuan dan pendidikan keseluruhannya.
Kita yakin bahawa pencapaian yang telah diperolehi melalui
penggunaan Bahasa Malaysia sebagai medium pengajaran dan pembelajaran telah memberi
kejayaan kepada pembangunan, pendidikan ala Malaysia seterusnya membawa
Malaysia ke arah sebuah negara maju. Pelajar-pelajar dalam negeri atau luar
negeri telah dapat menyambung pelajaran dan mendapat kejayaan pada masa yang
lepas dengan tidak sedikit pun menafikan peranan Bahasa Inggeris yang mereka
perolehi sebagai bahasa komunikasi dan akademik yang menyokong keupayaan mereka
di semua peringkat pengajian di pusat-pusat pengajian tinggi.
PAS menyeru semua pihak agar kembali kepada realiti membangunkan
sesuatu bangsa adalah berteraskan kepada keupayaan pembangunan ilmu anak bangsa
itu. Ilmu adalah suatu cahaya yang menyerap ke dalam minda dan jiwa seseorang
melalui pemahaman dan penguasaan secara mendalam mengenai konsep dan
aplikasinya. Ilmu juga merupakan disiplin daripada apistemologi ilmu
yang pelbagai dan yang paling tinggi adalah ilmu wahyu daripada Bahasa Arab
yang mampu membina hati budi dan peradaban manusia dan sesebuah bangsa.
Mewajibkan kelulusan Bahasa Inggeris dalam peperiksaan walaupun
dilihat pada permukaannya sebagai satu sebab kemajuan bangsa Malaysia pada masa
hadapan, namun ianya adalah suatu dikonomi yang melebihkan Bahasa
Inggeris bukan pada tempatnya. Kita juga menyatakan bahawa diskriminasi telah
berlaku di negara ini untuk memajukan Bahasa Malaysia berbanding usaha
memajukan Bahasa Inggeris sehinggakan Bahasa Malaysia dilihat sepi oleh sesetengah
menteri kita.
PAS yakin pembangunan pendidikan di Malaysia akan dijayakan dengan
baik apabila hak anak-anak pribumi untuk menikmati ilmu dalam bahasa ibundanya
sendiri dapat direalisasikan. Sebaliknya mewajibkan Bahasa Inggeris lulus bagi
setiap pelajar SPM bermula dari 2016 akan melemahkan mereka dan kelemahan itu
tidak akan dapat diselesaikan tanpa mengorbankan keutamaan yang lain untuk
pembangunan generasi anak Malaysia yang berjati diri.
DATO’ USTAZ ABU BAKAR BIN CHIK
(Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat)
Kuala Terengganu, 27 September 2013