Ramadhan 1434H sudah berlalu
20 hari. Begitulah pantasnya pergerakkan masa bagi sesiapa yang istiqamah
dengan iman dan amal yang mengharapkan keredhaan Allah SWT dan berjaya menjalani
Ramadhan untuk mendapatkan Lailatul Qadar di bahagian akhirnya. Insya Allah.
Sesungguhnya umat Islam telah
mempunyai asas kekuatan pada diri mereka sendiri. Pertamanya, mereka mempunyai
ilmu asas yang membolehkan mereka mengenal Allah SWT dan mengenal Islam secara
yakin. Keduanya, mereka dapat melaksanakan kehidupan mereka dengan melakukan
amal soleh. Ketiganya, mereka boleh memposisikan diri sebagai anggota umat
Islam yang beragama (mutadayyin).
Namun ketiga-tiga aspek ini
tidak banyak manfaatnya dalam pembinaan ummah kecuali ketiga-tiganya akan dapat
dipraktikkan dalam konteks penghayatan Islam yang Syumul (dalam ertikata
Islam merupakan syari’ah dan cara hidup yang berpegang kepada akidah dan tauhid
berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah dan menadikan orang Islam sebagai pemimpin
yang sebenar).
Persoalannya, bagaimanakah hendak
membudayakan masyarakat dengan kehidupan Islam yang Syumul. Saya suka menarik
perhatian saudara saudari bahawa PAS adalah sebuah jamaah Islam yang berusaha
membangunkan budaya hidup Islam di segenap pelusuk masyarakat dalam negara ini.
PAS bukan sahaja mempunyai
jalur kepimpinan dari peringkat Syura hingga ke peringkat cawangan (vertical)
bahkan PAS juga memimpin operasi kehidupan berjamaah pada jalur lebar (horizontal)
yang merangkumi semua aspek kehidupan seperti politik dan kemasyarakatan.
Golongan cendiakawan
seharusnya dapat membantu PAS membangunkan umat Islam di Malaysia melalui
pembinaan budaya Islam pada jalur lebar (horizontal) ini. Masing-masing dengan
bidang pengkhususannya boleh berperanan melaksanakan amal ma’ruf dan nahi
mungkar dalam masyarakat agar budaya hidup Islam dapat dibangunkan di
setiap sektor kehidupan.
Walaupun agak sukar untuk
berada dalam suasana masyarakat Islam tanpa disokong oleh sistem yang ada dalam
negara namun secara penditilannya kita mampu membentuk suasana itu dan mungkin
sedikit sebanyak mempengaruhi sistem itu sendiri. Ia dapat dihasilkan apabila
tokoh-tokoh yang memimpin masyarakat dapat membina sub-culture yang menghayati
Islam.
Sebagai contoh usaha yang
dilakukan oleh kumpulan Alternative Riding Club (ARC) dan Kawan Selebriti bagi
membentuk budaya hidup di peringkat masing-masing secara Islam telah memberi
impak besar kepada pembinaan budaya hidup Islam dalam masyarakat. Saya menaruh
harapan tinggi kepada mereka yang berprofesyen untuk membentuk sektor kehidupan
Islam di peringkat masing-masing.
Marilah kita menjadi
sebaik-baik umat apabila kita dapat melaksanakan tuntutan ayat Al-Quran (Surah
Al-Imran) :
110. Kamu (Wahai umat Muhammad)
adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana)
kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala
perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah
(dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu
beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi
mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka:
orang-orang Yang fasik.