Pages

Showing posts with label ummah. Show all posts
Showing posts with label ummah. Show all posts

Sunday, 25 August 2013

MENITI SUNNAH PEMBANGUNAN UMMAH II


Semenjak 500 tahun yang lalu, muncul kefahaman dan aliran yang sangat berbeza dengan aliran mazhab yang biasa iaitu perkembangan pemikiran yang bersifat filsafat dan kebebasan hawa nafsu. Hal ini berkembang dan menjadi fahaman sekular dengan pengertian tradisinya tidak mahu menyatupadukan pegangan politik dengan pegangan keagamaan sehingga pemimpin dan pemerintah di kalangan orang Islam memperalatkan agama atas nama orang Islam tetapi tidak mahu berpegang dengan ajaran Islam yang dipegang oleh jumhurul ummah. Mereka menafsirkan Al-Quran dan As-sunnah untuk diselaraskan dengan pegangan sekular mereka dan terus memperalatkan agama untuk mengekalkan kuasa mereka dan mengajak orang Islam bersama dengan mereka.

Aliran pemikiran seperti ini telah dibina oleh penentang-penentang gereja dan kemudiannya paderi-paderi serta pedagang-pedagang yang menjajah negara umat Islam. Malah mereka mendapat kepentingan bersama dengan mengembangkan sekular yang menjauhkan umat Islam daripada agama, disamping menjajah negara-negara umat Islam dan mengaut keuntungan ekonomi daripada bumi umat Islam serta mengembangkan agama Kristian. Apabila mereka keluar daripada tanah jajahan ini, mereka meninggalkan penguasa-penguasa sekular sehingga mendarah daging dalam diri dan memerintah seperti mana mereka memerintah sebelum itu.

Perkara berkenaan telah disebut oleh Lord Cromer dan Glad Stone. Maka sebahagian daripada anggota umat Islam daripada pelbagai mazhab mendokong fahaman sekular dan memperjuangkannya sebagai fahaman baru melalui sistem demokrasi, bahkan apabila mereka memerintah atau kalah melalui pilihanraya, mereka akan melakukan tipu helah dan keganasan bagi memastikan golongan mereka tetap berkuasa dalam negara-negara berkenaan.

Ironinya lagi apabila bangsa Arab dan kerajaan mereka membuat pendirian bahawa jumhurul ummah tidak sepatutnya diberikan peluang berkuasa secara demokrasi seperti sokongan Raja Abdullah Abd. Aziz (Arab Saudi) kepada perampas kuasa di Mesir, serta turut disokong oleh Raja Emirate dan Raja Quwait.

Tidak kurang ironinya apabila ada ulama’ tertentu dunia yang memakai serban para ulama’ ahli sunnah wal jamaah tidak langsung mengambil kira pendapat jumhur dalam menentukan pendirian ke atas masalah umat Islam di Mesir.

Marilah sama-sama kita merenung kepada Al-Quran dan As-sunnah yang tegas mengatakan pendirian yang wajib diambil oleh seseorang Islam iaitu :

a) Meyakini bahawa umat Islam itu adalah satu dan inilah wadah dan bekas dimana orang Islam berada di dalamnya. Umat Islam bukan dua, bukan juga tiga, ianya adalah satu kerana agamanya adalah satu. 

b) Jamaah Islam atau Hizbullah (Al-Maaidah,54-56; Al-Mujadalah,52; dan hadith Khuzaifah ibnul Yaman)  adalah kumpulan yang memimpin umat Islam dan mereka adalah orang-orang yang layak membentuk Syura yang terdiri daripada para ulama’ yang takutkan Allah SWT. Sesungguhnya ulama’ itu adalah orang yang takut kepada Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Bahawasanya mereka yang menjadi ulama’ itu adalah orang yang takut kepada Allah SWT”. 

c) Persaudaraan Islam adalah yang mengikatkan antara hati di kalangan orang-orang yang beriman satu sama lain berdasarkan ayat Al-Quran : “Bahawasanya orang-orang yang beriman itu sahajalah yang bersaudara”.

Ikatan ini seharusnya menjadi pegangan yang tidak boleh dirungkai sehingga anggota-anggota umat Islam menjadi satu tubuh badan sahaja seperti yang diibaratkan oleh hadis Rasulullah SAW iaitu “apabila sakit salah satu anggota badan, maka seluruh anggota badan tidak mampu tidur dan demam”.

Marilah kita berpegang kepada nas Al-Quran dan As-sunnah yang memerintahkan kita untuk melaksanakan kedudukan kita dan menghayatinya secara kehidupan berjamaah dan bersaudara secara Islam. Sesungguhnya kehidupan berjamaah dan budaya ummah yang satu mengatasi kepentingan mazhab parti politik dan golongan tertentu seperti persaudaraan Islam yang melangkaui kepentingan bangsa, kaum dan kumpulan-kumpulan tertentu.

Rasulullah SAW meninggalkan kita dengan Kitab Al-Quran dan As-sunnah, maka kita tidak akan sesat sekiranya kita berpegang kepadanya. Insya’ Allah kita berusaha mengembalikan persatuan ummah dan persaudaraan Islam melalui kepimpinan jamaah Islam di seluruh dunia.



Monday, 19 August 2013

MENITI SUNNAH PEMBANGUNAN UMMAH I


Umat Islam di seluruh dunia telah ditimpa oleh fitnah besar dengan berlakunya peristiwa pembunuhan beramai-ramai oleh perampas kuasa ke atas kerajaan Dr Mohamed Mursi di Mesir. Rakyat Mesir dihujani peluru-peluru hidup yang mengorbankan ribuan mereka yang tidak berdosa tanpa sedikit pun ada perasaan belas kasihan. Malahan masjid serta hospital juga dibakar.

Semenjak daripada zaman Rasulullah SAW, baginda membina umatnya dengn pemikiran untuk menghormati Syura dan pendapat jumhur (majoriti). Nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah yang sifat pendalilannya adalah secara tegas dan nyata (qat’iyyat al di laalah) dituntut agar dilaksanakan oleh umat Islam dengan cara yang sebaik-baiknya serta sesuai dengan pendalilannya yang tegas dan nyata itu.

Umat Islam adalah sebuah ummah yang satu. Suatu istilah yang disebutkan oleh Al-Quran dengan sifat kesatuannya (ummatan wahidah) sepertimana yang terkandung dalam ayat Al-Quran yang maksudnya : “Ini adalah umat kamu, umat yang satu dan Aku (Allah SWT) Tuhan kamu, maka hendaklah kamu semua menyembahKu)”. (al-imran; 110)

Kesatuan umat ini berakar umbi pada satu dasar yang berpegang kepada akidah tauhid. Justeru syari’at Islam adalah berpusat pada paksi yang satu (akidah tauhid) dan bersifat syumul dimana amalan-amalan hidup terikat kepada paksi akidah ini serta lengkap melengkapi antara satu sama lain. Itulah yang dimaksudkan dengan firman AllahSWT : “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam kesejahteraan (Islam) yang menyeluruh”. (Al-Baqarah; 208)

Pembinaan umat yang dibentuk semenjak zaman Rasulullah SAW adalah pada landasan-landasan berikut:
a) Mematuhi nas-nas Quran dan Hadith yang sifatnya jelas tanpa boleh disyurakan seperti perintah solat dan puasa.

b) Membenarkan perbezaan pendapat di atas perkara kesamaran seperti yang berlaku dalam kes dimana Rasulullah SAW membenarkan pendapat-pendapat sahabat yang berbeza ketika melaksanakan perintah baginda “Janganlah kamu sembahyang Asar kecuali di tempat Banu Quraizah”, [Riwayat Bukhari].

c) Rasulullah SAW menggalakkan pemesyuaratan dan menerima pendapat jumhur seperti kes penempatan tetera Islam di punca air Badar.

d) Menerima pakai pendapat yang menjadi adat dan kebiasaan yang boleh mendatangkan manfaat seperti pendebungaan kurma untuk mendapatkan hasil yang banyak.

Pada zaman para sahabat dan assalaf al soleh terdapat perbezaan-perbezaan dalam perkara politik seperti yang berlaku mengenai peristiwa pembunuhan Saidina Uthman R.A dan peristiwa waqa’atul jamal (pertembungan antara kumpulan Saidatina ‘Aisyah R.A dan Saidina Ali R.A). Kemudiannya peperangan antara Saidina Ali dan Muawiyyah bin Abu Sufian yang membabitkan sahabat-sahabat R.A, dimana pada penghujungnya para ulama’ menentukan bahawa  pendapat Jumhur seharusnya di terima walaupun secara filsafatnya mungkin dianggap oleh setengah golongan mempunyai  kelemahan-kelemahan tertentu. Maka pendapat ini akhirnya digelar sebagai pendapat golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai pendapat.

Sehingga hari ini masih ada orang Islam yang tidak dapat menetapkan pendirian tentang kewajiban untuk mereka mengikuti aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, bahkan lebih parah lagi ialah tidak mengenali aliran ini. Apa yang difahami oleh golongan seperti ini; pendapat Ahli Sunnah Wal Jamaah dianggap sebagai pendapat bukan mazhab syi’ah. Apakah makna As-Sunnah Wal Jamaah ini dalam konteks pertembungan antara Sunni dan Syi’ah sahaja? Atau pun maksudnya dalam konteks pendapat dan aliran yang dipegang umum oleh jumhur dalam menerima dan menentukan tindakan yang selaras dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Perbezaan Sunni dan Syi’ah adalah perbezaan tradisi kehidupan bermazhab di kalangan umat Islam. Apa yang lebih penting adalah mentakribkan perbezaan-perbezaan dalam sifatnya akidah, syariah dan akhlak agar lebih mendekati kehendak Al-Quran dan As-sunnah.

Maka di sinilah terletaknya peranan seorang mujaddid; iaitu orang yang mahu mengembalikan ajaran Al-Quran dan As-sunnah menjadi amalan dan penghayatan umat pada zaman ini.

Dalam konteks ini peranan mujaddid ialah merungkaikan perselisihan di dalam isu perbezaan mazhab dan membawa ummah kepada perpaduan dan persaudaraan Islam yang sebenar.

Sememangnya isu mazhab adalah isu lama, tetapi kelamaannya itu telah melalui fasa dan zaman dimana penemuan-penemuan baru mengenai kelemahan feqah dan pendapat mazhab tertentu telah dikenal pasti di  tempat-tempat dan masa-masa tertentu. Misalnya hari ini kita dapati urusan zakat dengan memakai pendapat mazhab Hanafi lebih munasabah dalam masyarakat Malaysia yang bermazhab Syafi’e. Begitu juga dengan hak memiliki tanah seharusnya memakai pendapat kedua-dua mazhab ini.

Begitu juga pendapat berkaitan akidah apabila amalan mencaci para sahabat dan ummahatul mukminin (Sayyidina Ali, Sayyidina Abu Bakar, Sayyidatina ‘Aisyah dan lain-lain R.A) yang dianggap kafir dan mesti dilaknat adalah perkara yang tidak pernah ditemui kebenarannya semenjak dari 1300 tahun lalu hingga sekarang. Ini kerana tidak ada suatu logik dari segi hukum syarak, akal atau adat untuk mengatakan keharusan mencaci para sahabat dan ummahatul mukminin.

Apakah tidak cukup dengan perbalahan selama 1300 tahun yang lalu agar kita membuat penentuan pada zaman ini untuk mentakribkan (mendekatkan) mazhab-mazhab ini dengan meninggalkan pendapat yang songsang dan mengikuti pendapat yang didokong oleh para jumhurul ummah.

Sekiranya ada usaha baru dalam masyarakat Malaysia yang di bawa oleh mana-mana pihak untuk menanamkan pendapat seperti itu di dalam masysrakat ahli sunnah wal jamaah seperti di Malaysia, maka usaha seperti itu adalah sangat hina kerana ia membawa pendapat yang sepatutnya telah ditinggalkan melalui proses pemahaman Islam yang begitu panjang. Apatah lagi pendapat seperti itu telah memecah belahkan dan merosakkan hidup masyarakat Islam.


Setiap kita seharusnya berperanan untuk menguatkan umat Islam dan melepaskan belenggu kehinaan ummah kerana  perbezaan-perbezaan untuk kepentingan kuasa, politik dan mazhab tertentu. Kepentingan kita untuk mencari keredhaan Allah dan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam praktis hidup adalah sangat kritikal. Wallahua’lam..