Pages

Wednesday 20 November 2013

MENJANA KECEMERLANGAN PAS

Mukaddimah 
Sebagai sebuah Jamaah Islam, PAS membangunkan gerakannya melalui pemerkasaan kepimpinan, organisasi dan gerak kerja yang menyeluruh dan berterusan. Tonggak kekuatan kepimpinan PAS adalah kesatuan pemikiran (Wehdatul Fikr) yang dengannya Jamaah PAS diperteguhkan dan pengaruh PAS dilebarkan. Kesatuan pemikiran ini menjadikan hala tuju PAS dapat dijayakan dan sokongan kepada PAS untuk menghadapi pilihan raya dapat digembelengkan. Aspek mentarbiyahkan ahli dan memilih pemimpin yang tepat serta gerakan mendidik masyarakat dengan Islam akan menjana kecemerlangan PAS.

Pemerkasaan Wehdatul Fikr
Pemerkasaan Wehdatul Fikr dalam PAS akan dapat dilaksanakan sekiranya ada kesediaan pemimpin dan ahli PAS untuk berakhlak Islam serta ikhlas dengan perjuangan menegakkan syariat Islam di Malaysia. Kita semua mestilah bertafaahum (salah satu daripada tiga rukun usrah; Ta‘aaruf, Tafaahum dan Takaaful) untuk merealisasikan Wehdatul Fikr ini. Tafaahum ini adalah berakar umbi kepada pergantungan dalam menyelesaikan masalah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah serta berpegang teguh kepada dasar-dasar Tarbiyah dan Jihad Islami dalam PAS, yakni beramal Jamaa‘i dengan PAS. Justeru, kita mahu mengislahkan pimpinan Parti untuk menjayakan tafaahum di kalangan mereka. PAS memerlukan pemimpin yang dapat membulatkan fikrah berjamaah untuk meneruskan perjuangannya demi kejayaan didunia dan akhirat. - “Tarbiyah dan Jihad Jalan Kita”

Pemantapan Hala Tuju Parti
Hala tuju PAS telah dijelaskan oleh Perlembagaan PAS dalam Fasal 5:
“ Tujuan PAS ialah; 1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. 2) Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara”.
Pemimpin PAS wajib mendokong Perlembagaan ini dengan mengambil kira PAS sebagai sebuah Jamaah yang berperanan dalam bidang politik dan dakwah serta bidang-bidang yang lain dalam konteks pembangunan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Peranan ini telah diadunkan dalam bentuk Muwajhah Silmiyyah. Strategi PAS untuk memenangi politik negara yang mengamalkan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan adalah melalui tahaluf siasi di samping terus menjalankan dakwah dan tarbiyah. Pemimpin PAS harus yakin bahawa hala tuju perjuangannya adalah untuk mendapatkan kejayaan yang kekal abadi (al-fauzul al-azim) dan kemenangan politik semasa melaksanakan pemerintahan Islam (fathun qarib). Semua elemen seperti pemikiran liberal dan lain-lain yang dilihat boleh melemahkan hala tuju PAS hendaklah diketepikan serta merta agar ianya tidak menjadi penyakit yang membarah.

Pemimpin-pemimpin PAS mestilah yakin bahawa Parti Islam SeMalaysia merupakan  sebuah Jamaah Islam di negara ini dan ia bukanlah frant politik semata-mata. Justeru itu, kepimpinan ulamak PAS menjadi tonggak kepada kepimpinan Jamaah ini.

Melebarkan Pengaruh PAS Khususnya di Kalangan Masyarakat Melayu
Pengaruh  untuk PAS akan meningkat sekiranya sentuhan yang dilakukan memikat hati masyarakat Melayu. Terdapat kalangan bangsawan Melayu, middle class, golongan agama (termasuk ulamak rasmi) dan masyarakat luar bandar serta peneroka FELDA yang masih jauh dengan PAS. Untuk mereka, sentuhan keagamaan dan perbincangan mesti dilakukan secara serius seperti yang dianjurkan oleh al-Quran dan dan as-Sunnah.

Pendekatan keilmuan dan Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar hendaklah dilakukan melalui program pendidikan masyarakat secara serius. Gerak kerja dakwah termasuk di Sabah dan Sarawak mesti dipergiatkan. Pusat-pusat pendidikan alternatif seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), sekolah rendah Islam dan sekolah menengah Islam seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan pusat pengajian tinggi Islam hendaklah dibangunkan dan diberikan pemerkasaan yang sesuai dengan perkembangan arus perdana pendidikan negara. Penerangan dan penyampaian isu semasa ke dalam masyarakat diteruskan dengan pelbagai kaedah semasa melalui pemerkasaan penerbitan dan pusat-pusat penyebaran maklumat.

            Memandangkan kepada isu masyarakat Melayu terbelakang dalam bidang ekonomi dan kualiti sosio-ekonomi rakyat yang rendah mengokong kesedaran politik mereka dan melemahkan kehidupan mereka, maka satu gerakan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Melayu seharusnya digembelengkan oleh PAS; Perundingan dengan masyarakat korporat, industri, profesional, teknokrat dan pertubuhan perniagaan dijanakan agar mereka dapat membantu pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Melayu melalui program-program yang ditertibkan oleh PAS.

PAS Memimpin Kemenangan
PRU ke-12 PAS memperolehi 23 kerusi Parlimen dan PRU ke-13 memperolehi 21 kerusi Parlimen. Kemenangan dalam PRU ke-14 akan datang sangat diperlukan untuk memastikan survival politik PAS sebagai sebuah Parti Islam. Ruang pengaruh PAS seharusnya ditingkatkan dikalangan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak disamping mengekalkan pengaruh dikalangan orang bukan Islam. Dakwah Islamiah dan kejelasan dasar berhubung dengan masyarakat bukan Islam dan rakyat Malaysia bermasyarakat majmuk semestinya dipertingkatkan. Dengan kata lain, pemerkasaan gerak kerja politik yang mempamerkan keutuhan PAS dan dominasinya ke atas masyarakat Melayu dan bukan Melayu di Malaysia melalui penerimaan terhadap Islam dari segi agama ataupun dari segi dasar mesti terus diperkasakan melalui dakwah dan siasah syari’ah.

Kepimpinan PAS diperingkat Pusat seharusnya dilihat mempunyai kemampuan keulamakan dan intelektual sebagai pemimpin negara dan pemimpin masa depan. PAS mempunyai sumber kepimpinan yang cukup di semua peringkat kerana PAS adalah sebuah gerakan massa. Namun tetap bergantung kepada nature pergerakan PAS sebagai sebuah Jamaah dan gerakan Islam yang berjuang secara silmi (politik dan dakwah). Kemenangan di negeri-negeri yang sedia ada akan dapat dipertingkat dan kemenangan baru akan diperolehi apabila keadilan dan kecaknaan terhadap rakyat dan kepentingan Islam boleh ditunjukkan melalui pemerintahan negeri-negeri Pakatan Rakyat pada masa ini. PAS akan dapat mencapai kemenangan sekiranya Jamaah ini mempamerkan wajah kepimpinan yang bersatu dan berbakti kepada rakyat dan negara ini.

Kepimpinan Tuan Guru Haji Abd. Hadi bin Awang sudah pun terserlah. Peranan beliau sebagai pemimpin politik dan ulamak menempatkannya pada kedudukan tertinggi dalam kepimpinan Islam di dalam dan di luar negara. Peranan beliau dalam percaturan politik antarabangsa yang membabitkan umat Islam amat disegani. Kita memerlukan pemimpin seperti beliau untuk menerajui politik ummat seluruhnya. Mengukuhkan kepimpinan beliau akan menempatkan PAS dipersada politik tanah air dan politik antarabangsa. Jihad ummat diperlukan dan kepimpinan  Tuan Guru Haji Abd. Hadi bin Awang yang komited dengan tarbiyah dan jihad seperti yang ditunjukkan dalam kes Mamali menjadikan PAS sebuah gerakan umat yang menuntut keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat.

Saranan
Untuk kecemerlangan, PAS hendaklah diislahkan dari segi kepimpinan dan gerak kerjanya. Justeru, tarbiyah dan jihad adalah jalannya.

Daripada:
Ust. Abu Bakar Chik
20/11/2013


Wednesday 13 November 2013

PPSMI TIDAK PERLU DITERUSKAN


Kedudukan Bahasa Melayu mesti diperkukuhkan, oleh kerana Sepatutnya semua pihak menyedari kedudukan Bahasa Melayu telah dijamin didalam peruntukan Perlembagaan serta Dasar Pendidikan Nasional. Sewajarnya perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu diimbau semula bagi mengingatkan kita akan jerih perih pejuangan nasionalis tulen. 

     Oleh itu, pendirian Tun Dr Mahathir berhubung kedudukan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seumpama mengenepikan semangat yang terkandung jelas dalam Perlembagaan. Dengan merosotnya prestasi matematik dan sains terutamanya di kalangan pelajar luar bandar tambah memburukkan keadaan.

        Makanya saya mendesak agar kerajaan umno-bn tidak perlu mematuhi desakan Tun Dr Mahathir serta mematuhi intipati Dasar Pendidikan Nasional serta memartabatkan semula Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Saya juga menggesa agar sains dan matematik yang telah diajar dalam MELAYU di sekolah terus diperkasakan. Perlaksanaan PPSMI sekian lama menjerut wang rakyat dengan menyebabkan pembaziran berjumlah lebih RM 4.5 billion.

     Desakan ini dibuat tanpa menidakkan keperluan memperkukuh penggunaan Bahasa Inggeris dan kepentingannya, terutama di peringkat menengah atas serta pengajian tinggi. Namun PAS menolak sebarang usaha untuk memastikan kelulusan Bahasa Inggeris diwajibkan di peringkat SPM. Perhatian mestilah ditumpukan kepada usaha untuk menghantar guru yang benar-benar terlatih ke kawasan luar bandar. Kandungan kurikulum juga perlu dilakar sesuai bagi menghasilkan kualiti pembelajaran dan pelajar yang terbaik.

     Oleh itu seharusnya Tun Dr Mahathir serta pihak kerajaan memikirkan dahulu kesan perlaksanaan,kekurangan dan kelemahan PPSMI sebelum mendesak agar kerajaan meneruskan dasar PPSMI.


DATO ABU BAKAR BIN CHIK
PENGERUSI LAJNAH PENDIDIKAN PAS PUSAT

13 NOVEMBER 2013

Friday 1 November 2013

LEGASI (WARISAN) ALMARHUM USTAZ HAJI AZIZAN BIN ABDUL RAZAK (TAN SRI DATO’ SERI DIRAJA) DALAM KEPIMPINAN ISLAM, POLITIK DAN PENDIDIKAN – SEMOGA ALLAH SWT MERAHMATINYA.

KENYATAAN AKHBAR

Almarhum dilahirkan pada 25 Oktober 1944, merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid selepas PAS dan Parti Keadilan Rakyat membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-12, pada tahun 2008. Beliau juga merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau kemudian melanjutkan pelajaran ke Maktab Mahmud, Alor Setar (1959-1965). Seterusnya beliau menjadi tenaga pengajar di Maktab ini pada tahun 1966. Berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar dan Sarjana Undang-Undang Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom. Almarhum juga mahir dalam bidang Usul Fiqh.

Almarhum Ustaz Haji Azizan Abdul Razak telah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia  dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah. Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1983-1984, 1986-1995). Sebagai seorang pendidik, beliau menguasai ilmu dan menghayati nilai-nilai keilmuan; mengajar dengan penuh dedikasi dan berfikiran terbuka serta berprofessional.

Almarhum mula menyertai PAS pada tahun 1978 di England dan bergiat aktif dengan PAS di Malaysia pada tahun 1986. Beliau merupakan Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Naib Presiden Pas (2003-2005), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991-2013) dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993-2013). Selain itu beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah sehingga ke akhir hayatnya dan memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon Barisan Nasional. Beliau juga pernah mewakili PAS ke Majlis Perunding Ekonomi Negara (MAPEN) pada tahun 1989.

Almarhum merupakan seorang yang sangat prihatin terhadap rakyat dan senantiasa memastikan kebajikan rakyat terjaga. Ini dapat dilihat apabila beliau sentiasa mengambil berat hal kebajikan masyarakat termasuk kebajikan warga emas, ibu tunggal dan mereka yang ditimpa kesusahan dan musibah. Almarhum juga seorang yang tegas terhadap keputusan yang dilakukan dan amat gemar menyatakan pandangan serta komentar apabila keadaan yang dilihatnya memerlukan almarhum bersuara.

Beliau telah memimpin kerajaan negeri Kedah sebagai Menteri Besar dengan jayanya. Sifatnya sebagai seorang ahli politik dan pendidik bahkan sebagai seorang ulama’ telah menyumbang kepada pembangunan politik Islam di Kedah khususnya dan di Malaysia umumnya. Beliau telah berjaya memimpin dan mendidik rakyat di Kedah hidup dalam budaya ilmu dan berakhlak.  

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Lajnah Pendidikan PAS Pusat mengucapkan sekalung tahniah di atas perkhidmatan yang diberikan oleh almarhum selama memimpin PAS dan mentadbir negeri Kedah. Sesungguhnya, almarhum telah menaburkan baktinya mendidik pelajar-pelajar, pegawai-pegawai dan orang ramai untuk mengenali Islam dan perjuangannya. Semoga kepimpinannya dan ilmu yang dicurahkannya menjadi ilmu yang dimanfaatkan (digunakan oleh orang lain) sehingga melayakkannya diberikan pahala yang berterusan oleh Allah SWT kerana sifatnya sebagai guru dan pendidik kepada generasi di belakangnya. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin ya rabbal alamin.


Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik


01 NOVEMBER 2013