Pages

Monday 29 July 2013

Membangun Budaya Masyarakat Islam


Ramadhan 1434H sudah berlalu 20 hari. Begitulah pantasnya pergerakkan masa bagi sesiapa yang istiqamah dengan iman dan amal yang mengharapkan keredhaan Allah SWT dan berjaya menjalani Ramadhan untuk mendapatkan Lailatul Qadar di bahagian akhirnya. Insya Allah.

Sesungguhnya umat Islam telah mempunyai asas kekuatan pada diri mereka sendiri. Pertamanya, mereka mempunyai ilmu asas yang membolehkan mereka mengenal Allah SWT dan mengenal Islam secara yakin. Keduanya, mereka dapat melaksanakan kehidupan mereka dengan melakukan amal soleh. Ketiganya, mereka boleh memposisikan diri sebagai anggota umat Islam yang beragama (mutadayyin).

Namun ketiga-tiga aspek ini tidak banyak manfaatnya dalam pembinaan ummah kecuali ketiga-tiganya akan dapat dipraktikkan dalam konteks penghayatan Islam yang Syumul (dalam ertikata Islam merupakan syari’ah dan cara hidup yang berpegang kepada akidah dan tauhid berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah dan menadikan orang Islam sebagai pemimpin yang sebenar).

Persoalannya, bagaimanakah hendak membudayakan masyarakat dengan kehidupan Islam yang Syumul. Saya suka menarik perhatian saudara saudari bahawa PAS adalah sebuah jamaah Islam yang berusaha membangunkan budaya hidup Islam di segenap pelusuk masyarakat dalam negara ini.

PAS bukan sahaja mempunyai jalur kepimpinan dari peringkat Syura hingga ke peringkat cawangan (vertical) bahkan PAS juga memimpin operasi kehidupan berjamaah pada jalur lebar (horizontal) yang merangkumi semua aspek kehidupan seperti politik dan kemasyarakatan.

Golongan cendiakawan seharusnya dapat membantu PAS membangunkan umat Islam di Malaysia melalui pembinaan budaya Islam pada jalur lebar (horizontal) ini. Masing-masing dengan bidang pengkhususannya boleh berperanan melaksanakan amal ma’ruf dan nahi mungkar dalam masyarakat agar budaya hidup Islam dapat dibangunkan di setiap sektor kehidupan.

Walaupun agak sukar untuk berada dalam suasana masyarakat Islam tanpa disokong oleh sistem yang ada dalam negara namun secara penditilannya kita mampu membentuk suasana itu dan mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi sistem itu sendiri. Ia dapat dihasilkan apabila tokoh-tokoh yang memimpin masyarakat dapat membina sub-culture yang menghayati Islam.

Sebagai contoh usaha yang dilakukan oleh kumpulan Alternative Riding Club (ARC) dan Kawan Selebriti bagi membentuk budaya hidup di peringkat masing-masing secara Islam telah memberi impak besar kepada pembinaan budaya hidup Islam dalam masyarakat. Saya menaruh harapan tinggi kepada mereka yang berprofesyen untuk membentuk sektor kehidupan Islam di peringkat masing-masing.


Marilah kita menjadi sebaik-baik umat apabila kita dapat melaksanakan tuntutan ayat Al-Quran (Surah Al-Imran) : 

110. Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.



Sunday 28 July 2013

Islam Dan Demokrasi

Saban hari kita berfikir perkembangan di bumi Mesir dimana berlakunya pertembungan di kalangan rakyat dalam sebuah negara Islam. Demi kuasa, pihak tentera bersama dengan sebahagian rakyat dan mereka yang membenci kebangkitan Islam melakukan huru-hara di bumi anbiya’ ini. 

Ada di kalangan mereka yang bergelar ulama’ -demi kesenangan hidup dunia- seperti Ali Juma’ah (bekas mufti) dan Ahmad al Tayyeb (Sheikh Al Azhar) tanpa segan silu menyokong rampasan kuasa tentera dengan anggapan ianya lebih baik daripada pimpinan Ikhwanul Muslimin. Mereka telah ditanam oleh Mubarak untuk menjaga kepentingan rejim itu.

Senario seperti ini boleh berlaku dalam semua negara umat Islam, apabila masyarakat orang Islam termasuk tentera dan polis telah menjadi golongan sekular dan munafik yang bertopengkan agama untuk kesenangan hidup dunia, lebih-lebih lagi apabila mereka disokong oleh kuasa kuffar yang selamanya dendam terhadap Islam. 

 Tiada lagi istilah maruah bagi pemimpin-pemimpin negara Arab seperti Saudi dan Emirates yang selama ini kononnya menentang Iran kerana Syi’ahnya tetapi pada hari ini menentang Ikhwanul Muslimin tanpa apa-apa sebab.

Di Malaysia, PAS sebagai sebuah jamaah Islam dan gerakan Islam menggunakan kaedah perjuangan aman (muwajahah silmiah) melalui pilihanraya bagi menyampaikan dakwah dan memerintah dengan adil sepertimana diajar oleh Islam.

PAS berdepan dengan dua persoalan, pertamanya sejauh manakah orang melayu Islam daripada rakyat miskin, golongan yang tidak memahami agama Islam, golongan pertengahan Melayu dan bangsawan Melayu boleh menyokong dan menerima PAS atas nama demokrasi sama ada PAS bersendirian atau bersama dengan parti-parti yang lain.

Kedua, adakah parti UMNO dan BN boleh menerima kekalahan dalam pilihanraya sedangkan mereka tidak pernah berkompromi untuk memberikan kebebasan kepada PAS dalam menggunakan media dan mendapatkan hak sebenar melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecuali meletakkan calon dan mendapatkan undi. Tetapi dalam masa yang sama media rasmi, jentera kerajaan dan peruntukkan kewangan di peringkat pusat/negeri sedikit pun tidak membolehkan PAS mempunyai persediaan seperti pihak kerajaan dalam menghadapi pilihan raya.

Sekiranya sikap UMNO dan BN berterusan begini, jelas melakukan penipuan dan monopoli sumber kerajaan dan rakyat dalam sistem demokrasi, apalah yang hendak diharap untuk mereka menerima kekalahan pilihan raya?

Justeru, langkah mengukuhkan PAS sebagai jamaah Islam dan Harakah Islam mestilah disertai dengan langkah meningkatkan keupayaan dakwah dalam masyarakat agar benteng penentangan orang melayu terhadap PAS dapat ditembusi. 

Sebagai jemaah dan parti Islam, PAS tidak perlu terjebak dengan ketakutan untuk berada dalam masyarakat dan berdepan dengan pelbagai permasalahan dakwah kerana keteguhan PAS tidak memberi apa-apa makna tanpa memberi kesan dalam dakwah kepada masyarakat.

Janganlah kita mengharapkan orang-orang UMNO akan menyokong PAS tanpa kesedaran Islam atau kepercayaan kepada parti Islam sedangkan politik adalah untuk menjaga Islam. Sekiranya Islam tidak dapat disampaikan, apalah maknanya politik itu sendiri.

Kita mengutuk sekeras-kerasnya rampasan kuasa di Mesir dan mendoakan agar Mohamad Mursi yang memenanggi pilihan raya dipulihkan kekuasaannya. ALLAHU AKBAR!! ALLAHU AKBAR!!

Monday 22 July 2013

Isunya Akhlak, Bukannya Ratu Cantik



Beberapa hari ini, ruang media hangat memperkatakan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik Malaysia yang telah dibatalkan penyertaannya. Pertandingan tersebut bagi melayakkan mereka merebut gelaran  Miss World Malaysia 2013 pada Ogos ini. Walaubagaimana pun, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa  mengharamkan penyertaan bagi wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik tersebut.

Isu sebegini pernah menarik perhatian pelbagai pihak pada akhir 2011 yang mana lima wanita Islam menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo 2011 yang diadakan di Kuching. Amat malang sekali isu pertandingan ratu cantik masih mendapat sambutan wanita Islam seolah-olah tiada pendedahan mengenai pengharaman tersebut.

Isunya kenapa persoalan ini timbul? Saya fikir isu ini secebis kecil daripada keinginan wanita Islam atau muda mudi Islam kerana dalam konteks Malaysia terdapat dasar-dasar yang memang bertentangan dengan Islam. Misalnya dasar penyiaran, dasar sukan, dasar hiburan, dasar pelancongan dan lain-lain.

Sudah diketahui bahawa masalah sosial semakin  hari semakin parah akibat daripada keinginan untuk hidup dalam keadaan terhibur dan tidak terikat dengan nilai dan hukum Islam. Misalnya statistik anak luar nikah semakin meningkat, penglibatan penagihan dadah, persundalan dan sebagainya.

Sebenarnya apa yang di lihat daripada gejala sosial ini adalah seperti bungkusan ais di lautan, walaupun nampak hanya sebahagian kecil, tetapi permasalahannya jauh besar daripada apa yang di lihat. Apa yang berlaku pada hari ini hanyalah satu rangkaian siri hidup secara liberal yang berlaku di kalangan orang Islam sendiri akibat daripada lemahnya pendidikan agama, moral dan akhlak serta tiadanya role model dalam masyarakat secara sebenar. Bahkan tiadanya undang-undang dan penguatkuasaan seperti yang dikehendaki dalam Islam. Sebagai contoh dari segi undang-undang, bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah adalah separuh daripada bidang kuasa Mahkamah Majistret.

Hakim tinggi syari’e mempunyai bidang kuasa menghukum 3 tahun penjara, denda RM5000 dan enam kali sebatan sedangkan bidang kuasa majistret adalah 6 tahun penjara, denda RM10,000 dan 16 kali sebatan. Apakah yang boleh diharapkan daripada dasar mempertahankan Islam oleh UMNO dan Barisan Nasional. Mereka tidak mempunyai perancangan batang tubuh Islam, umat dan negara Malaysia kerana penjagaan terhadap Islam ianya boleh berlaku dengan betul sekiranya adanya kehendak politik (political will) pemimpin negara.

Adakah berlaku kehendak politik mempertahankan Islam di Malaysia melalui dasar-dasar dan sistem-sistem yang ada dalam negara ini? Kita tidak menafikan saban hari ada yang mempertahankan Kalimah Allah agar tidak digunakan oleh orang bukan Islam. Kita tidak mahu percakapan ini tidak selari dengan dasar-dasar yang ada dalam negara ini. Ia bukan hanya isu politik bagi mempertahankan pengaruh BN dan UMNO sahaja.

Kita sangat hairan apabila isu seperti haramnya shisha dan haramnya pertandingan ratu cantik wanita Islam tidak digarap selari dengan dasar mempertahankan matlamat syarak (maqasid as-syariah) kerana mana mungkin matlamat syarak di capai tanpa terlaksana hukum-hukum syarak. Walaupun pernah dinyatakan oleh Menteri Malaysia matlamat syarak sudah berlaku, sedangkan undang-undang syariah tidak dilaksanakan dalam negara ini.


Marilah kita kembali menilai semula fitrah Islam berdasarkan kepada surah Ar-Ruum ayat 30: 



30. (setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah ugama Yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, Iaitu ugama Yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama Yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Islam adalah agama fitrah yang sangat sesuai untuk semua. Apa yang ada di langit dan bumi yang dikayakan oleh Allah swt untuk kepentingan manusia. Umat Islam seharusnya memimpin dunia dan memperjuangkan kalimah Allah swt.


Sunday 14 July 2013

PRK KUALA BESUT - Intelektual vs Material

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى ءاله وصحبه ومن واله الى يوم الدين



Kuala Besut adalah gelanggang percaturan intelektual dan material. Kemenangan BN bergantung kepada kejahilan rakyat dan ketakutan hilangnya kehidupan yang dinikmati pada hari ini walaupun  sebahagian besar rakyat sangat miskin berbanding kehidupan golongan menengah Melayu di bandar-bandar. Kuala Besut tidak dibangunkan menjadi sumber kekuatan ekonomi sekalipun kedudukannya hampir sama dengan kedudukan Tok Bali sebagai pelabuhan perikanan yang memberangsangkan.

Sebenarnya tiada usaha yang berkesan dilakukan oleh kerajaan BN untuk memajukan sumber-sumber ekonomi di Kuala Besut, apatah lagi untuk menjadikannya sebagai pusat pelancongan yang berprestij. Kehidupan rakyat masih pada takuk (tahap) lama, namun begitu mereka sentiasa berangan-angan untuk mendapatkan pembangunan yang diwar-warkan oleh UMNO/BN.

Logiknya, orang Kuala Besut yang memahami politik tidak akan menyokong BN kerana harapan pembangunan material di kawasan ini akan berhasil  dengan kejutan yang dilakukan oleh rakyat. Pilihanraya ini seharusnya menjadi medan rakyat menggunakan kebijaksanaan untuk menyokong PAS dan membuat kejutan dengan mencipta sejarah meletakkan kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu dalam nisbah 16:16.

Pemikiran intelek mengatakan, Kuala Besut akan memperolehi pembangunan yang banyak pada masa hadapan dalam kerangka usaha BN menunaikan janji pembangunannya kepada rakyat untuk meraih sokongan dalam PRU ke14. Sekiranya rakyat tidak memberi undi kepada PAS, maka pemimpin BN mengatakan orang Melayu tetap setia pada mereka, walaupun janji mereka pada rakyat Melayu di Kuala Besut tidak ditunaikan.


Monday 1 July 2013

Mukaddimah Dan Isu Mesir

السـلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى ءاله وصحبه ومن واله الى يوم الدين

Mutaakhir pandangan dan pendapat seharusnya di salurkan kepada masyarakat untuk melaklsanakan  dakwah dan menyampaikan perjuangan Islam. Semua pihak yang terlibat dengan usaha ini terpaksa mencari jalan melalui perinsip daawah fardiyyah, iaitu menyampaikan dakwah atas kapasiti peribadi, dan juga dakwah secara jama'iyyah iaitu berdakwah secara amal jama'i.

Memandangkan kepada pentingnya ICT sebagai media dakwah penulis berusaha untuk menyumbang buah fikiran dan memanfaatkan media ini untuk menyampaikan dakwah dan dalam masa yang sama untuk mendapat pandangan agar usaha dakwah bersama dapat di laksanakan dengan berkesan.

Justeru dengan pelbagai kesulitan dalam menguruskan blog ini penulis berusaha untuk aktif bersama dengan anggota masyarakat siber yang lain memajukan usaha dakwah semampunya Insya Allah.

Penulis memohon maaf sekiranya pandangan yang akan di kemukakan nanti menyentuh aspek-aspek peribadi tertentu kerana bukanlah niat penulis untuk berbuat demikian. Hasrat penulis ialah untuk membicarakan kepentingan umum khususnya dalam lapangan dakwah dan gerakan Islam. Semoga usaha kecil ini di berikan hidayah dan taufik oleh Allah S.W.T.

Isu di Mesir adalah yang paling hangat buat masa ini. Pandangan umum pemerhati politik mungkin menganggapkan bahawa pertembungan Timur-Barat seperti yang telah di ulas oleh Samuel P. Huntington selaras dengan perkembangan yang sedang berlaku itu. Kalaulah itu kenyataannya, adakah dunia Islam menguruskan pertembungan antara peradaban seperti yang telah di kemukakan oleh penulis "The Clash of Civilization and The Remaking of Wold Order" itu.

Sekiranya Obama, Presiden Amerika Syarikat menegaskan dia mempertahankan kerajaan yang di pilih oleh rakyat di Mesir melalui proses demokrasi, apakah presiden Amerika itu dengan kenyataannya menjadi penyelamat kepada kemenangan Islam di Mesir, yang latarnya di dasarkan kepada gerakan Ikhwan Muslimin?  Mungkin inilah yang akan di rasai oleh dunia, terutamanya orang Islam yang sangat bergantung kepada faktor-faktor kemenangan melalui gerakan politik dan dialog peradaban.

Kalau kita meninjau bagaimana penempatan negara haram Israel, ia adalah hasil daripada perancangan teliti melalui perjanjian Balfour (1917) yang di pimpin oleh England sehingga tertubuhnya negara haram Israel (1948). Ia adalah manifestasi kepada sebuah konspirasi untuk menyelesaikan masalah dunia berlatarkan pendapat golongan kristian yang mesti memindahkan Yahudi dan Zionis ini di Palestin dan dalam masa yang sama menjadi penampang kepada dunia Kristian melalui persekongkolan dengan Zionis untuk menentang ummat Islam dan terus menjajah dunia Islam agar kepentingan barat di pertahankan selamanya.

Ikhwan adalah kuasa rakyat dan kuasa Islam yang belum dapat menegakkan sistem politik dan sistem-sistem Islam yang lain di Mesir. Tetapi ianya di lihat kuasa yang mendasari rakyat Mesir. Kesediaan jihad di pihak Ikhwanul Muslimin dan kesediaan syahid mereka adalah suatu hakikat yang sedang berlaku.

Sudah tentu Amerika Syarikat menyedari hakikat ini. Apakah pendirian semasa mereka berdepan dengan rakyat yang sedia syahid dengan meyokong pengganas rakyat Mesir, kuncu-kuncu Mubarak dan mereka yang sebelumnya pernah menjadikan Mesir sebagai medan penyembelihan pimpinan Ikhwan, ataupun pendirian mereka adalah untuk menyelaraskan kepentingan Barat dengan kebangkitan Islam di Timur Tengah samada menguntungkan Yahudi ataupun tidak?

Pengurusan Dakwah dan Gerakan Islam seharusnya memintas segala konspirasi terhadap ummat. Malaysia adalah sebuah daerah pergerakan Islam di bawah pimpinan Parti Islam Semalaysia (PAS). Semua dimensi untuk menjaga nama baik kepimpinan dan jemaah ini sangat mustahak untuk membolehkan Parti Islam memimpin ummah dan untuk melaksanakan dakwah dan gerakan dalam merealisasikan matlamat pencipta syara' dan matlamat syara' iaitu sendiri. Wallahu A'lam.